Mencari Mardhatillah 43


Aku akan terus memohon pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Bulan ramadhan adalah bulan pesta ibadah terutamanya solat. Solat yang tak dikerjakan pada bulan lain kecuali Ramadhan adalah solat Terawih. Walaupun hampir setiap hari sakit kepala aku kuatkan diri ke masjid bersama mama. Masa tak larat ke masjid aku akan solat seorang diri di rumah, walaupun tak dapat pahala berjamaah. Sekurang-kurangnya kita tetap laksanakan walaupun sakit.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar. “(Al-Baqarah:153)

Menurut Tafsir Ibnu Kasir mengenai tafsir ayat ini:
“Dalam ayat ini Allah memerintahkan umat manusia untuk selalu meminta pertolongan kepada Allah dengan cara bersabar dan menunaikan solat secara khusyuk. Sabar terbahagi kepada 2, iaitu sabar ketika mendapat ketenangan dan sabar ketika mendapat kesusahan. Ketika menghadapi permasalahan, hendaklah kita mengembalikan semua urusan kepada Allah kerana Dialah Zat yang menentukan semuanya. Sabar mengandungi 3 hal:

  1.  Sabar untuk meninggalkan sesuatu yang haram,
  2.  Sabar dalam menunaikan ibadah dan kewajipan,
  3.  Sabar dalam menerima musibah dari Allah.
Semua musibah merupakan kehendak Allah, telah disebutkan pula bahawa di sebalik musibah yang menimpa pasti terdapat hikmah yang sangat agung.”

Setelah mentadabbur ayat ini haruslah aku jadikan motivasi untuk mohon pertolongan dengan sabar dan solat. Bagi sesetengah orang solat itu sendiri memerlukan kesabaran. Ada pula yang tidak sabar, lalu tidak solat. Aku sendiri nampak perkara ini semasa di wad PPUKM bulan lepas. Aku bersimpati padanya. Aku hanya mampu berdoa supaya Allah membukakan pintu hati untuk solat 5 waktu.

No comments: