Aku bersyukur kerana dapat kembali
berkhidmat. Aku dapat menyumbang tenaga kepada atfal jannah. Atfal jannah merupakan tempat rehabilitasi
untuk kanak-kanak yang berkeperluan khas. Mereka adalah anak-anak syurga
InshaAllah. Penerimaan Psikologis Klinikal terhadap aku adalah sesuatu yang
amat bermakna. Walaupun aku tidak seperti orang lain dan mempunyai sejarah
penyakit Bipolar, namun beliau tetap menerima
aku apa adanya. Alhamdulillah. Pemberian Allah melalui perantara beliau adalah
sesuatu yang harus aku syukuri. Firman Allah dalam surah al-‘Araf pada ayat
144:
فَخُذۡ مَآ ءَاتَيۡتُكَ وَكُن مِّنَ
ٱلشَّٰكِرِينَ ١٤٤
“Oleh
itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari
orang-orang yang bersyukur.”
Penyusunan Allah adalah yang
terbaik. Allah tahu akan keperluan hambaNya. Maka dengan itu aku ditakdirkan
untuk diuji dengan penyakit mental ini iaitu Bipolar II Disorder. Sehingga kini aku masih di dalam pemantauan
pakar di PPUKM dan aku masih perlu untuk mengambil beberapa jenis ubat-ubatan
untuk mengawal mood aku. Selain itu,
aku juga harus menjalani ECT pada setiap 3 minggu. Inilah takdir yang aku harus
lalui. Aku akan laluinya dengan redha. Hanya dengan redha aku tidak akan
tertekan dan murung. Terimalah dengan redha pembahagian Allah SWT.
Aku harus selalu dan sentiasa ingat
akan pemberian dan anugerah yang dilimpahkan kepadaku dari Allah SWT. Tidak
terhitung sebenarnya akan anugerah Ilahi. Kini hampir 33 tahun aku hidup dan
menghirup udara Allah. Kehidupan adalah satu pemberian dan anugerah yang tidak
ternilai dan amatlah berharga. Aku sedar bahawa aku pernah tidak menghargai
akan kehidupan ini. Aku “penat” dan putus asa dengan takdir yang berlaku
atasku. Aku merasakan “lelah” dengan penyakitku ini dan sudah tidak larat lagi
untuk menjalani perawatan yang bagiku amatlah lama sejak 2006. Namun,
Alhamdulillah aku dapat berfikir lalu bersyukur dengan takdir Ilahi terhadapku
ini. Ingatlah akan firman Allah dalam surah Luqman ayat 20:
وَأَسۡبَغَ
عَلَيۡكُمۡ نِعَمَهُۥ ظَٰهِرَةٗ وَبَاطِنَةٗۗ
“Dan
Dia telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin?”
Aku juga harus memperingatkan
diriku supaya membiarkan masa hadapan datang sendiri seperti firman Allah dalam
surah al-Nahl ayat 1:
أَتَىٰٓ
أَمۡرُ ٱللَّهِ فَلَا تَسۡتَعۡجِلُوهُۚ
“
Telah pasti datangnya ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka
janganlah kamu minta disegerakan”.
Kita tidak boleh mendahului
peristiwa yang belum terjadi. Kita harus sedar bahawa Allah adalah sebaik-bak
perancang. Kita tidak harus bimbang akan perancangan Allah kerana itu adalah
yang terbaik. Maka apa yang terjadi kepada diriku yang bergelar sebagai pesakit
mental bernama Bipolar II Disorder
adalah kerana aku dipilih oleh Allah untuk melalui onak dan ranjau sebagai
pesakit Bipolar. Aku harus bersyukur
dengan pemilihan Allah ini kerana ianya adalah anugerah dari Pencipta kepada
hambaNya.
Sekarang, aku harus bangkit untuk
melawan semua perasaan negatif yang sering menyelubungi aku suatu ketika
sebelum ini. Perasaan dan bisikan negative ini sebenarnya adalah bisikan dari
syaitan yang ingin kita jauh dari redha Allah. Dalam mencari mardhatillah kita
harus bersikap positif dengan semua perancangan dan pemberian Allah kepada
kita. Kita pasti tenang sekiranya kita bersikap positif, inshaAllah. Yakinlah!
Kadang kala aku sering lupa bahawa
kita tidak boleh membandingkan diri kita dengan orang lain. Sekiranya kita
membandingkan diri kita dengan sahabat kita misalnya, kita akan kecewa kerana
kita tidak sama dengannya. Mungkin beliau nampak berjaya dalam pelajaran dan
akhirnya di alam pekerjaannya. Aku? Ditakdirkan untuk tidak mendapat keputusan
cemerlang ketika belajar, dan akhirnya di alam pekerjaan juga tidak secemerlang
sahabatku itu. Perbandingan ini akan membuahkan kekecewaan pada diriku.
Kini, aku sedar akan kekhilafanku
sebelum ini. Rezeki, jodoh dan ajal telah ditetapkan di Lauh Mahfuz. Aku redha
dan bersyukur. Tidak akan terjadi sesuatu bencana di bumi ini dan tidak akan
terjadi musibah pada diri ini kecuali ianya telah ditentukan dalam ketentuan
Allah sebelum kewujudan kita lagi. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai
hambaNya adalah sentiasa taat dan patuh kepada apa yang telah diperintahkan ke
atas kita sebagai ciptaanNya. Kita juga harus sentiasa memburu dan mencari
mardhatillah supaya kita selamat di dunia mahupun di akhirat kelak.
Allah tidak akan menarik suatu
kenikmatan kecuali Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.
Sekiranya kita diuji dan menganggap sebagai beban, kita seharusnya bersabar dan
selalu mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT. Berdasarkan apa yang aku
lalui, aku berkeluh kesah, tetapi kini aku menganjurkan supaya tidak berkeluh kesah
terhadap sesuatu musibah kerana balasannya adalah syurga dan pahala yang
melimpah ruah di sisi Allah SWT. Seperti yang kita tahu, perjalanan para nabi
dan wali juga diuji dan menerima pelbagai tentangan. Namun, Allah mengurniakan
balasan syurga dari Yang Maha Kuasa. Allah berfirman dalam surah Ar-Rad’ pada
ayat 24:
سَلَٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡۚ فَنِعۡمَ
عُقۡبَى ٱلدَّارِ ٢٤
24.
Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah
baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
Selain itu, tertawa adalah ubat
yang mujarab bagi menghilangkan keresahan dan kesedihan. Tertawa juga merupakan
salah satu dari pemberian Allah. Hanya dengan memiliki kekuatan yang
menakjubkan untuk membuat jiwa senang dan hati yang tenang. Ketika aku
dirundung kemurungan, adalah amat mustahil untuk aku tersenyum apatah lagi
tertawa. Tertawa juga merupakan mutiara kelapangan hati, tetapi bukanlah
tertawa yang berlebihan. Untuk aku tertawa amatlah sukar tetapi bersyukurlah
dengan kurniaan Allah padaku untuk boleh tersenyum kerana terdapat dalam hadis
bahawa “Senyuman itu adalah sedekah”. Senyum juga merupakan pemberian yang amat
bernilai bagi aku.