Mencari Mardhatillah 16

Kelmarin, satu lagi memori hitam berlaku dalam hidupku. Aku diberhentikan dari Vads, anak syarikat TM. Ini adalah kerana aku pesakit Bipolar Mood Disorder. Terasa sangat berat ujian yang Allah berikan padaku. Tidak ada ruangkah untuk pesakit mental seperti aku untuk berada dalam masyarakat? Kenapa pesakit mental sering disalah ertikan serta sering dilayan sebegini? Bagaimana pesakit seperti aku hendak pulih kalau tidak diberi ruang dan peluang? Aku hanya pengidap Bipolar….bukannya gila ataupun skezofrenia. Sewaktu aku jumpa doctor di hospital kelmarin, dia kata kalau pesakit Bipolar, tak perlu declare pada majikan yang kita ni ada penyakit Bipolar. Silap aku kerana dah bagitau pada majikan hari kedua bekerja bahawa aku adalah pesakit Bipolar Mood Disorder.

Satu tamparan hebat buatku. Aku hanya mampu menangis. Aku meluahkan pada Basmin, Makcik Su dan Makcik Norsham. Ketika itu memang aku sangat depress. Aku mendapat kata-kata peransang dari mereka. Ini semua ujian dari Allah. Aku merasakan ketika itu, pesakit macam aku tak ada ruang lagi untuk maju. Aku ingin bangkit semula setelah berehat hampir setahun. Dan bila aku dapat tawaran ni, aku sangat gembira kerana ia merupakan impian aku sejak aku kembali pulih. Tetapi, kegembiraan aku hanyalah sementara. Tak sampai seminggu pun aku bekerja.

Adakah ini nasib pesakit seperti aku? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia yang mengaturkan semua ini. Dengan kehendakNyalah berlakunya semua ini. Ini juga merupakan tarbiyah dari Allah. Untuk menjadikan aku lebih kuat dan tabah. Untuk mendidik aku agar menerima segala Qada’ dan Qadar dari Allah. Bukankah beriman dengan Qada’ dan Qadar adalah wajib buat semua mukmin? Maka, aku harus terima bahawa ini adalah sebahagian dari Qada’ dan Qadar Allah.

Sebaik sahaja berhenti dari Vads, aku terus pulang ke bilik sewa dan terus mengemas semua barang-barang untuk bersedia pulang ke Jitra. Memandangkan aku sudah tidak diberi peluang lagi, maka apa yang terbaik ketika itu adalah balik ke pangkuan papa dan mama……merekalah selama ini yang memberi kekuatan dan semangat padaku. Inilah liku-liku yang harus aku lalui untuk menggapai redha Allah.....

Aku takkan berdiam diri. Kata makcik Su, kalau di UK tindakan Vads boleh disaman kerana ia merupakan diskriminasi. Mereka langsung tidak memberi peluang buat aku. Aku cuba jugak mohon agar diberi ruang dan satu lagi peluang, tapi oleh kerana aku “sakit”, maka mereka tak boleh bagi peluang. Mereka takut rugi. Rugi membayar gaji aku dan takut aku tak mampu lakukannya. Makcik Su juga bagitau aku boleh buat aduan di Jabatan Tenaga Rakyat. Selain itu aku juga akan menulis pada media apa yang telah mereka perlakukan padaku. Aku bukanlah berniat untuk mendapatkan balik jawatan itu tetapi aku nak mereka tidak lagi memandang rendah dengan pesakit mental seperti aku.

Renungan bersama 11

Sesungguhnya ilmu itu datang dari langit,
pengetahuan datangnya dari pembacaan dan kuliah,
ilham pula dari pengamatan, renungan dan pengalaman

Jangan disesali dengan pengalaman pahit
di dalam kehidupan kerana ia adalah satu ilmu,
wadah dan panduan di dalam perjalanan
untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Motivasi Unggul 7

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan (menganiaya seperti menyusahkan, menyiksakan, mendatangkan bencana, membunuh dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azam Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar." ((85) Al-Buruuj: 10)

"Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)."((14) Ibrahim: 34)

Mencari Mardhatillah 15

Esok, genap 5 hari aku memulakan tugas di Vads. Aku keliru adakah aku layak untuk meneruskan tugas ini. Aku gagal dalam assessment yang pertama. 3 orang yang gagal akan berjumpa dengan trainer yang bertanggungjawab esok. Setelah aku mengetahui aku di antara 3 orang tersebut, aku terus down sangat. Negative thought kembali dalam minda aku. Useless etc. Aku sms pada makck Su dan makcik Norsyam. Mereka juga memberi kata-kata perangsang pada aku. Aku merasakan seperti tidak layak untuk kembali bangkit setelah mengetahui tentang resultku itu.

Ini merupakan ujian lagi buatku. Untuk menguji tahap kesabaran aku. Aku tak sempat study sebab aku ada usrah malam sebelum assessment tersebut. Kemudian abis usrah pun dah pukul 11. Sebelum tido, aku sempat tengok sekali imbas sahaja sebab keletihan. Tido kejab, aku terpaksa bersiap sedia untuk ke tempat kerja pulak. Memang masa study untuk aku sikit jer. Allah ingin menguji keteguhan aku di jalanNya. Untuk terus berada di jalan yang penuh ranjau ini, aku harus melalui pelbagai ujian dan rintangan. Papa menyalahkan usrah dan program yang aku ikuti. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Allah yang merancang semua ini untuk aku lalui. Begitu juga dengan penyakit yang aku hidapi ini. Aku sepatutnya beruntung kerana terpilih untuk diuji dengan penyakit yang bernama Bipolar ini. Aku tak tau aku berada dalam fasa apa sekarang. Saat-saat sukar aku telah laluinya. Sepanjang 3 tahun ini, sekarang baru aku merasa sihat. Kemudian aku dapat kerja, sesuatu yang aku inginkan setelah merasa sembuh. Tetapi, hari keempat aku diberitakan tentang orang yang gagal mencapai tahap yang diinginkan oleh majikan. Aku merasakan bahawa aku di antaranya! Saat sukar kembali dalam hidupku. Aku merasakan aku sudah terlalu tua untuk kembali ke alam pekerjaan. Lagi pulak, untuk kerja ini, aku harus melalui training selama 43 hari. Untuk assessment pertama, aku GAGAL!! Adakah ini indicator bahawa aku tak layak bekerja kerana sakit??

Renungan bersama 10


Fikir agama dengan bertafakur itu
adalah lebih baik dari
beribadat sunat 1,000 tahun yang lalai.
Mereka yang bijak berfikir
adalah yang sering memikirkan tentang mati.


Beramal itu biar sedikit
asalkan istiqamah (tetap)
dengan penuh ilmu dan pengetahuan
juga di amalkan pada kehidupan
seharian dengan syukur dan tawadduk

Motivasi Unggul 6

1. Jabir ra. menuturkan, Rasulullah saw. bersabda: "Tidak pantas bagi orang bodoh mendiamkan kebodohannya. Juga tidak pantas orang yang berilmu itu mendiamkan ilmunya." (HR. Ath-Thabrani, Ibnu Sunni dan Abu Nu'aim)
- Hadis ini menegaskan bahawa orang bodoh harus berusaha menjadi pintar dengan menuntut ilmu. Orang yang berilmu juga wajib mengamalkan dan mengajarkan ilmunya kepada orang lain yang memerlukannya, baik diminta atau tidak.

2. Anas bin Malik ra. mengatakan, Rasulullah saw bersabda: " Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim. Dan mengajarkan ilmu bukan pada ahlinya adalah seperti mengalungi babi dengan berlian, mutiara dan emas." (HR. Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

3. Ali ra. menuturkan, Rasulullah saw. bersabda: "Ilmu itu laksana almari (yang tertutup rapat) dan kunci pembukanya adalah pertanyaan. Oleh sebab itu bertanyalah kalian kerana sesungguhnya dalam soal jawab diturunkan empat jenis pahala, yakni untuk penanya, orang yang berilmu (yang menjawab pertanyaan), para pendengar, dan orang yang mencintai mereka." (HR. Abu Nu'aim)

4. Rasulullah saw. bersabda: "Pertanyaan yang baik itu adalah sebahagian dari ilmu." (HR. Ad Dailani)

Mencari Mardhatillah 14

Pagi tadi appoinment aku dengan Dr Salwa. Dah 2-3 hari aku menanti untuk berjumpa dengannya. Tetapi, aku kecewa kerana Dr Salwa bercuti. Aku ambil keputusan untuk tidak berjumpa dengan mana-mana doctor pun. Aku kembali ke kereta dan drive keluar dari hospital. Walaupun aku merasa rugi datang jauh-jauh tapi tak buat apa-apa. Aku call papa. Papa tak bagi aku balik. Lalu aku kembali drive menuju ke hospital. Aku tunggu dengan sabar untuk berjumpa dengan MO. Akhirnya, bukan MO yang aku jumpa, hanyalah HA yang tergopoh-gapah nak masukkan ubat dan nak aku keluar dengan cepat. Sekali lagi aku kecewa.

Dalam perjalanan pulang, aku sedih dengan apa yang berlaku hari ni. Aku patutnya “Expect the unexpected”. Ini adalah ujian juga untuk aku. Ujian untuk menguji ketahanan mental dan untuk menguji kesabaran aku. Apa yang aku mampu hanyalah menangis dan mengadu pada Allah. Allah yang merancang semua ni untuk aku. Untuk aku lalui bagi meningkatkan ketahanan jiwa dan mental aku. Aku sangkakan yang aku sudah sembuh dan tak sabar untuk menurunkan dos AD, MS dan AP. Rupanya, kejadian ini membuatkan aku fikir kembali sama ada sesuai atau tidak aku turunkan dos.

Kelmarin, dalam perjalanan pulang juga, aku diuji. Aku mendapat sms yang membuatkan aku sedih. Terasa sangat down. Aku hanya mampu mengadu pada Allah. Dia Maha Mengetahui. Sms yang aku terima tu membuatkan aku berfikir lagi. Rupanya aku belum sembuh.

Dua kejadian ini adalah indicator bahawa aku belum sembuh atau pulih. Aku mudah terasa, sedih, lalu menangis. Saat aku sedih, seperti biasa, aku terasa untuk berjumpa Makcik Su atau Kak Azlina. Tapi, mereka jauh. Kak Azlina hanya boleh dihubungi melalui email. Makcik Su pulak hanyalah sms. Allah mentakdirkan orang yang faham dan boleh bantu aku tinggal jauh.

Ya Allah, Kau kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk aku meneruskan liku-liku kehidupan dalam menggapai redhaMu. Aku ingin hidup dalam dakapanMu Ya Allah. Kau yang menciptakan aku, maka Kau jualah yang lebih mengetahui apa yang terbaik buatku. Aku berserah sepenuhnya padamu Ya Allah….

Renungan bersama 9

Matlamat hidup adalah
suatu usaha yang jitu
berpandukan Al-Quran
dan As-Sunnah Rasulullah SAW,
bagi mengembalikan martabat agama
dan ummah agar beriman dengan
jitu kepada Allah Yang Maha Esa.

Hidup perlu ada padanya niat,
maksud, fikir dan matlamat.
Bermula niat dengan jiwa yang tenang.
Jiwa yang tenang datangnya dari hati yang kasih

Motivasi Unggul 5

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi rooji'uun (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali)" ((2) Al-Baqarah:155-156)

Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kali melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal." ((9) At-Taubah:51)

Mencari Mardhatillah 13

Sudah lama aku tak update blog. Sebabnya, sibuk mencari kerja dan tak ada idea untuk menulis. Esok, aku akan mulakan program “train n place” di Penang pulak. Satu bidang baru dan sesuatu yang pernah aku fikirkan semasa sekolah dulu. Paralegal Practice. Abis training ni, aku boleh bekerja sebagai pembantu peguam. Kalau ada rezeki. InsyaAllah…..

Sabtu lepas, Basmin, Ram, Welma dan Qama aku bawa ke rumahku di Jitra. Saja jalan-jalan.

Last minute planning malam tu, kami celebrate birthday Basmin beramai-ramai dengan papa dan mama sekali. Ram pulak ditugaskan untuk menjadi ketua chef. Dekat pukul 10 jugak dinner malam tu. Puas nak abiskan lauk-pauk dan kek birthday Basmin.

Esoknya, kami beramai-ramai bertolak ke Sungai Petani. Aku ada appointment dengan Dr Salwa. Lepas Ram hantar aku ke hospital, mereka pergi ke taman tema air The Carnival. Perjumpaan aku dengan Dr Salwa biasa saja. Dia nampak aku stabil. Sekali lagi aku request nak turunkan dos. Dia tak setuju. Dia taknak buat kesilapan macam aritu. Stabil jer terus nak turunkan dos. Kami juga bincangkan soal kerja. Kerjaya sebagai guru Dr Salwa nampak kurang sesuai. Confuse aku. Kerja apa yang aku boleh buat? IT dah tak pandai. Aku tak banyak pilihan. Sebab tu doa aku pada Allah agar aku peroleh pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan dan keupayaan aku. Itu doa aku setiap hari.