Mencari Mardhatillah 40

Sesuatu yang terjadi pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan diagnosis baruku iaitu Treatment Resistant Depression (TRD).  Dari namanya agak menyedihkan. Itulah yang dinyatakan oleh Dr Tuti. Tetapi, bagiku ianya harus aku jadikan cabaran untuk aku terus berjuang melawan penyakitku ini. Allah tidak mentakdirkan sesuatu itu sia-sia. Ranjau yang Allah SWT takdirkan tidak akan terhenti selagi nadi berdenyut.

Walau apapun diagnosis penyakitku, Allah tidak akan meninggalkan aku keseorangan. Dengan kembalinya Dr Tuti ke Malaysia setelah beberapa tahun di Australia bagi menyambung pelajaran di peringkat Phd, aku amat berasa beruntung. Dr Tuti merupakan doktor pakar pertama yang merawat aku pada 2006-2008. Kini, 2013 dia kembali menanggani kes aku. Dia membuat beberapa pertukaran dan penambahan ubat setelah diagnosisku bertukar. Semoga Allah  memberkati usaha yang beliau jalankan bagi membantu aku.

Aku tidak akan mengalah dalam melakukan sesuatu untuk penyembuhan aku walaupun sudah hampir 8 tahun aku dirawat di Jabatan Psikiatrik di beberapa buah hospital. Aku sebenarnya lebih selesa dengan rawatan di PPUKM kerana pakar dan pegawai perubatannya mesra dan bersungguh-sungguh dalam membantu memulihkan pesakit mental. Ini adalah berdasarkan pengalaman aku yang pernah ditanggani oleh beberapa buah hospital lain.


Aku mengharapkan agar usahaku yang tak pernah henti sejak disahkan sebagai pesakit mental ini diberkati oleh Allah SWT. Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya kerana kita adalah ciptaanNya. Maka dengan itu aku tidak harus berputus asa dan menyerah dalam berusaha mengubati penyakit yang dipandang serong oleh sesetengah masyarakat.

No comments: