Mencari Mardhatillah 19

Alhamdulillah. Kini, aku kembali semula ke rumah setelah beberapa hari bermusafir ke Shah Alam menjenguk nendaku serta menghadiri kenduri di sana. Entah kenapa hari terakhirku di Shah Alam dan disambung dengan hari-hari seterusnya di rumah, aku merasa sedih. Bila sedih, aku luahkan pada akhawat yang tak jemu-jemu membantu dan menasihatiku. Apapun yang aku lakukan, aku harus kembali kepada Allah dalam menggapai redha Allah.

Hari ni dan semalam aku sedikit pulih. Ubat aku makan seperti biasa. Tapi, pengharapanku kuserahkan sepenuhnya pada Allah. Dr Mazwin mencadangkan untuk aku ke hospital ahad ni. Akan kufikirkan dulu...... Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Dia merancang yang terbaik untukku.

Ahad lepas, ketika di PKNS Shah Alam, adindaku Man dapat cenderahati dari Rabbani iaitu album terbaru mereka - Mahababah setelah sama-sama menyanyikan Intifadah. Mereka ada menyanyikan lagu lama yang dinyanyikan semula - Tanpa Agama. Tersentuh dengan bait-bait lagu itu antaranya:

Tanpa agama manusia binasa
Tanpa ilmu manusia buta
Tanpa iman manusia sengsara
Tanpa ukhuwah manusia terseksa

Ada agama datangnya pelita
Ada ilmu datangnya harta
Ada harta datangnya derma
Ada ukhuwah datangnya saudara

Setiap bait di atas penuh erti yang tersendiri. Ada yang tersurat dan ada yang tersirat. Terpulang kepada pendengar. Tapi, bagiku, ianya amat menyentuh naluriku. Manusia memerlukan agama, ilmu, iman dan ukhuwah. Yang menyayat hatiku kini adalah ukhuwah. Aku perlukan ukhuwahfillah dalam menempuhi hidupku. Kukira, tanpa ukhuwah, aku takkan berada di tahap ini sekarang. Kerana ukhuwah akhawat, aku mendapat tarbiyah. Tanpa tarbiyah, aku mungkin tak kenal Islam seperti yang sepatutnya. Aku pasti jahil. Amalanku belum tentu diterima Allah. Ya Allah, Kau terimalah aku sebagai hambamu. Aku ingin menjadi kekasihmu. Kau terimalah aku untuk menjadi tetamuMu pada tahun ini Ya Allah.......

Renungan bersama 14

Didiklah nafsu dengan perbanyakan berpuasa.
Perbanyakan berzikir, bertasbih, solat dan
menghayati Al-Quran semasa berpuasa itu.

Bermula niat dengan berfikir.
Datangnya fikiran melalui renungan.
Datangnya renungan dari muhasabah diri
hasil dari pembacaan dan ceramah kesedaran.

Tidak selamat bagi ummat yang hidup di atas muka bumi
tanpa berbuat kebaikan dan takut mencegah kemungkaran,
maka bala akan datang bertimpa-timpa.

Motivasi Unggul 9


"Dan tidak ada (lagi) baginya segolongan pun yang dapat menolongnya selain Allah; dan dia pun tidak akan dapat membela dirinya. Di sana, pertolongan itu hanya dari Allah Yang Maha Benar. Dialah (pemberi) pahala terbaik dan (pemberi) balasan terbaik." ((18) Al-Kahf: 43-44)

Katakanlah (Muhammad), "Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa." Maka barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatupun dalam beribadah kepada Tuhannya."((18) Al-Kahf:110)

Terima kasih Tuhan

Terima kasih wahai Tuhanku

Yang sentiasa melimpahkan rahmatnya

Membenarkan aku menghadapMu

Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Untuk bercakap dengan Tuhan

Mengizinkan ku minta padaMu

Memuja memuji sepenuh hatiku

Memohon munajat padaMu ya Rabbi

Tapi aku khuatir ketika menghadapMu

Tidak pula pandai beradab denganMu

Aku mula bimbang kalau aku derhaka

Dalam ketaatan bukan rahmat dariMu yang ku dapat

Tapi kukan dapat kemarahanMu

Ya Rabbal ‘Alamin maafkanlah aku

Mencari Mardhatillah 18

Sedih. Tangisan. Menangis. Sad. Sadness. Crying. Semuanya membawa maksud yang hampir sama. Tabah dan sabar pula ungkapan yang sering diajukan pada aku. Aku menangis ketika sahabatku membaca Al-Fatihah dan meminta aku membuat skrip sendiri dengan Allah ketika mendengar bacaan itu. Sangat tersentuh dengan bacaan yang mendayu tersebut. Tersentuh kerana ujian yang Allah turunkan padaku adalah kerana Allah sangat-sangat menyayangiku. Dengan rahmat dan kasih sayang Allahlah aku masih menghirup udaraMu ya Allah.

Surah yang paling powerfull. Ummul kitab. Ummul Quran. Induk Al-Quran. Apabila membacakan Al-Fatihah dan dihembuskan pada air kosong, insyaAllah air itu menjadi penawar. Tertanam di jauh lubuk hatiku ingin mendalami, memahami, mempelajari dan seterusnya menghayati isi kandungan Al-Fatihah kerana Al-Fatihah boleh member impak yang besar dalam kehidupanku. Al-Fatihah boleh membentuk peribadi manusia.

Pernahkah kita terfikir kenapa kita mengulangi surah ini sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali sehari semalam? Pasti ada hikmah yang tersembunyi yang masih belum kita sebagai hambanya menerokainya. InsyaAllah sekiranya ada peluang, aku akan mendalami surah ini. Inilah yang harus dilakukan untuk menggapai redha Ilahi.

Kenangan bersama akhawat Karisma-JIM