Mencari Mardhatillah 16

Kelmarin, satu lagi memori hitam berlaku dalam hidupku. Aku diberhentikan dari Vads, anak syarikat TM. Ini adalah kerana aku pesakit Bipolar Mood Disorder. Terasa sangat berat ujian yang Allah berikan padaku. Tidak ada ruangkah untuk pesakit mental seperti aku untuk berada dalam masyarakat? Kenapa pesakit mental sering disalah ertikan serta sering dilayan sebegini? Bagaimana pesakit seperti aku hendak pulih kalau tidak diberi ruang dan peluang? Aku hanya pengidap Bipolar….bukannya gila ataupun skezofrenia. Sewaktu aku jumpa doctor di hospital kelmarin, dia kata kalau pesakit Bipolar, tak perlu declare pada majikan yang kita ni ada penyakit Bipolar. Silap aku kerana dah bagitau pada majikan hari kedua bekerja bahawa aku adalah pesakit Bipolar Mood Disorder.

Satu tamparan hebat buatku. Aku hanya mampu menangis. Aku meluahkan pada Basmin, Makcik Su dan Makcik Norsham. Ketika itu memang aku sangat depress. Aku mendapat kata-kata peransang dari mereka. Ini semua ujian dari Allah. Aku merasakan ketika itu, pesakit macam aku tak ada ruang lagi untuk maju. Aku ingin bangkit semula setelah berehat hampir setahun. Dan bila aku dapat tawaran ni, aku sangat gembira kerana ia merupakan impian aku sejak aku kembali pulih. Tetapi, kegembiraan aku hanyalah sementara. Tak sampai seminggu pun aku bekerja.

Adakah ini nasib pesakit seperti aku? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia yang mengaturkan semua ini. Dengan kehendakNyalah berlakunya semua ini. Ini juga merupakan tarbiyah dari Allah. Untuk menjadikan aku lebih kuat dan tabah. Untuk mendidik aku agar menerima segala Qada’ dan Qadar dari Allah. Bukankah beriman dengan Qada’ dan Qadar adalah wajib buat semua mukmin? Maka, aku harus terima bahawa ini adalah sebahagian dari Qada’ dan Qadar Allah.

Sebaik sahaja berhenti dari Vads, aku terus pulang ke bilik sewa dan terus mengemas semua barang-barang untuk bersedia pulang ke Jitra. Memandangkan aku sudah tidak diberi peluang lagi, maka apa yang terbaik ketika itu adalah balik ke pangkuan papa dan mama……merekalah selama ini yang memberi kekuatan dan semangat padaku. Inilah liku-liku yang harus aku lalui untuk menggapai redha Allah.....

Aku takkan berdiam diri. Kata makcik Su, kalau di UK tindakan Vads boleh disaman kerana ia merupakan diskriminasi. Mereka langsung tidak memberi peluang buat aku. Aku cuba jugak mohon agar diberi ruang dan satu lagi peluang, tapi oleh kerana aku “sakit”, maka mereka tak boleh bagi peluang. Mereka takut rugi. Rugi membayar gaji aku dan takut aku tak mampu lakukannya. Makcik Su juga bagitau aku boleh buat aduan di Jabatan Tenaga Rakyat. Selain itu aku juga akan menulis pada media apa yang telah mereka perlakukan padaku. Aku bukanlah berniat untuk mendapatkan balik jawatan itu tetapi aku nak mereka tidak lagi memandang rendah dengan pesakit mental seperti aku.

Renungan bersama 11

Sesungguhnya ilmu itu datang dari langit,
pengetahuan datangnya dari pembacaan dan kuliah,
ilham pula dari pengamatan, renungan dan pengalaman

Jangan disesali dengan pengalaman pahit
di dalam kehidupan kerana ia adalah satu ilmu,
wadah dan panduan di dalam perjalanan
untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Motivasi Unggul 7

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan (menganiaya seperti menyusahkan, menyiksakan, mendatangkan bencana, membunuh dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azam Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar." ((85) Al-Buruuj: 10)

"Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)."((14) Ibrahim: 34)

Mencari Mardhatillah 15

Esok, genap 5 hari aku memulakan tugas di Vads. Aku keliru adakah aku layak untuk meneruskan tugas ini. Aku gagal dalam assessment yang pertama. 3 orang yang gagal akan berjumpa dengan trainer yang bertanggungjawab esok. Setelah aku mengetahui aku di antara 3 orang tersebut, aku terus down sangat. Negative thought kembali dalam minda aku. Useless etc. Aku sms pada makck Su dan makcik Norsyam. Mereka juga memberi kata-kata perangsang pada aku. Aku merasakan seperti tidak layak untuk kembali bangkit setelah mengetahui tentang resultku itu.

Ini merupakan ujian lagi buatku. Untuk menguji tahap kesabaran aku. Aku tak sempat study sebab aku ada usrah malam sebelum assessment tersebut. Kemudian abis usrah pun dah pukul 11. Sebelum tido, aku sempat tengok sekali imbas sahaja sebab keletihan. Tido kejab, aku terpaksa bersiap sedia untuk ke tempat kerja pulak. Memang masa study untuk aku sikit jer. Allah ingin menguji keteguhan aku di jalanNya. Untuk terus berada di jalan yang penuh ranjau ini, aku harus melalui pelbagai ujian dan rintangan. Papa menyalahkan usrah dan program yang aku ikuti. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Allah yang merancang semua ini untuk aku lalui. Begitu juga dengan penyakit yang aku hidapi ini. Aku sepatutnya beruntung kerana terpilih untuk diuji dengan penyakit yang bernama Bipolar ini. Aku tak tau aku berada dalam fasa apa sekarang. Saat-saat sukar aku telah laluinya. Sepanjang 3 tahun ini, sekarang baru aku merasa sihat. Kemudian aku dapat kerja, sesuatu yang aku inginkan setelah merasa sembuh. Tetapi, hari keempat aku diberitakan tentang orang yang gagal mencapai tahap yang diinginkan oleh majikan. Aku merasakan bahawa aku di antaranya! Saat sukar kembali dalam hidupku. Aku merasakan aku sudah terlalu tua untuk kembali ke alam pekerjaan. Lagi pulak, untuk kerja ini, aku harus melalui training selama 43 hari. Untuk assessment pertama, aku GAGAL!! Adakah ini indicator bahawa aku tak layak bekerja kerana sakit??

Renungan bersama 10


Fikir agama dengan bertafakur itu
adalah lebih baik dari
beribadat sunat 1,000 tahun yang lalai.
Mereka yang bijak berfikir
adalah yang sering memikirkan tentang mati.


Beramal itu biar sedikit
asalkan istiqamah (tetap)
dengan penuh ilmu dan pengetahuan
juga di amalkan pada kehidupan
seharian dengan syukur dan tawadduk

Motivasi Unggul 6

1. Jabir ra. menuturkan, Rasulullah saw. bersabda: "Tidak pantas bagi orang bodoh mendiamkan kebodohannya. Juga tidak pantas orang yang berilmu itu mendiamkan ilmunya." (HR. Ath-Thabrani, Ibnu Sunni dan Abu Nu'aim)
- Hadis ini menegaskan bahawa orang bodoh harus berusaha menjadi pintar dengan menuntut ilmu. Orang yang berilmu juga wajib mengamalkan dan mengajarkan ilmunya kepada orang lain yang memerlukannya, baik diminta atau tidak.

2. Anas bin Malik ra. mengatakan, Rasulullah saw bersabda: " Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim. Dan mengajarkan ilmu bukan pada ahlinya adalah seperti mengalungi babi dengan berlian, mutiara dan emas." (HR. Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

3. Ali ra. menuturkan, Rasulullah saw. bersabda: "Ilmu itu laksana almari (yang tertutup rapat) dan kunci pembukanya adalah pertanyaan. Oleh sebab itu bertanyalah kalian kerana sesungguhnya dalam soal jawab diturunkan empat jenis pahala, yakni untuk penanya, orang yang berilmu (yang menjawab pertanyaan), para pendengar, dan orang yang mencintai mereka." (HR. Abu Nu'aim)

4. Rasulullah saw. bersabda: "Pertanyaan yang baik itu adalah sebahagian dari ilmu." (HR. Ad Dailani)

Mencari Mardhatillah 14

Pagi tadi appoinment aku dengan Dr Salwa. Dah 2-3 hari aku menanti untuk berjumpa dengannya. Tetapi, aku kecewa kerana Dr Salwa bercuti. Aku ambil keputusan untuk tidak berjumpa dengan mana-mana doctor pun. Aku kembali ke kereta dan drive keluar dari hospital. Walaupun aku merasa rugi datang jauh-jauh tapi tak buat apa-apa. Aku call papa. Papa tak bagi aku balik. Lalu aku kembali drive menuju ke hospital. Aku tunggu dengan sabar untuk berjumpa dengan MO. Akhirnya, bukan MO yang aku jumpa, hanyalah HA yang tergopoh-gapah nak masukkan ubat dan nak aku keluar dengan cepat. Sekali lagi aku kecewa.

Dalam perjalanan pulang, aku sedih dengan apa yang berlaku hari ni. Aku patutnya “Expect the unexpected”. Ini adalah ujian juga untuk aku. Ujian untuk menguji ketahanan mental dan untuk menguji kesabaran aku. Apa yang aku mampu hanyalah menangis dan mengadu pada Allah. Allah yang merancang semua ni untuk aku. Untuk aku lalui bagi meningkatkan ketahanan jiwa dan mental aku. Aku sangkakan yang aku sudah sembuh dan tak sabar untuk menurunkan dos AD, MS dan AP. Rupanya, kejadian ini membuatkan aku fikir kembali sama ada sesuai atau tidak aku turunkan dos.

Kelmarin, dalam perjalanan pulang juga, aku diuji. Aku mendapat sms yang membuatkan aku sedih. Terasa sangat down. Aku hanya mampu mengadu pada Allah. Dia Maha Mengetahui. Sms yang aku terima tu membuatkan aku berfikir lagi. Rupanya aku belum sembuh.

Dua kejadian ini adalah indicator bahawa aku belum sembuh atau pulih. Aku mudah terasa, sedih, lalu menangis. Saat aku sedih, seperti biasa, aku terasa untuk berjumpa Makcik Su atau Kak Azlina. Tapi, mereka jauh. Kak Azlina hanya boleh dihubungi melalui email. Makcik Su pulak hanyalah sms. Allah mentakdirkan orang yang faham dan boleh bantu aku tinggal jauh.

Ya Allah, Kau kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk aku meneruskan liku-liku kehidupan dalam menggapai redhaMu. Aku ingin hidup dalam dakapanMu Ya Allah. Kau yang menciptakan aku, maka Kau jualah yang lebih mengetahui apa yang terbaik buatku. Aku berserah sepenuhnya padamu Ya Allah….

Renungan bersama 9

Matlamat hidup adalah
suatu usaha yang jitu
berpandukan Al-Quran
dan As-Sunnah Rasulullah SAW,
bagi mengembalikan martabat agama
dan ummah agar beriman dengan
jitu kepada Allah Yang Maha Esa.

Hidup perlu ada padanya niat,
maksud, fikir dan matlamat.
Bermula niat dengan jiwa yang tenang.
Jiwa yang tenang datangnya dari hati yang kasih

Motivasi Unggul 5

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi rooji'uun (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali)" ((2) Al-Baqarah:155-156)

Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kali melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal." ((9) At-Taubah:51)

Mencari Mardhatillah 13

Sudah lama aku tak update blog. Sebabnya, sibuk mencari kerja dan tak ada idea untuk menulis. Esok, aku akan mulakan program “train n place” di Penang pulak. Satu bidang baru dan sesuatu yang pernah aku fikirkan semasa sekolah dulu. Paralegal Practice. Abis training ni, aku boleh bekerja sebagai pembantu peguam. Kalau ada rezeki. InsyaAllah…..

Sabtu lepas, Basmin, Ram, Welma dan Qama aku bawa ke rumahku di Jitra. Saja jalan-jalan.

Last minute planning malam tu, kami celebrate birthday Basmin beramai-ramai dengan papa dan mama sekali. Ram pulak ditugaskan untuk menjadi ketua chef. Dekat pukul 10 jugak dinner malam tu. Puas nak abiskan lauk-pauk dan kek birthday Basmin.

Esoknya, kami beramai-ramai bertolak ke Sungai Petani. Aku ada appointment dengan Dr Salwa. Lepas Ram hantar aku ke hospital, mereka pergi ke taman tema air The Carnival. Perjumpaan aku dengan Dr Salwa biasa saja. Dia nampak aku stabil. Sekali lagi aku request nak turunkan dos. Dia tak setuju. Dia taknak buat kesilapan macam aritu. Stabil jer terus nak turunkan dos. Kami juga bincangkan soal kerja. Kerjaya sebagai guru Dr Salwa nampak kurang sesuai. Confuse aku. Kerja apa yang aku boleh buat? IT dah tak pandai. Aku tak banyak pilihan. Sebab tu doa aku pada Allah agar aku peroleh pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan dan keupayaan aku. Itu doa aku setiap hari.

.:: Allah Is Calling::.

..::by The Zikr::..

Allah is calling
But I didn't answer
And when Allah is calling
I just listen to the voices

Allah is calling
I just answer sometimes
And when Allah is calling
I just listen to the whispers

Allah is calling
I answer so many times
Allah is calling
im tired of them

Hardly forching myself
I have to accept it all
And that is really me
Who's still not close to Allah

Renungan bersama 8

Wang bukanlah segala-galanya dalam kehidupan
tetapi segala-galanya memerlukan wang
Hiduplah atas Qada dan Qadar Allah
dengan penuh kesyukuran dan keredhaan
agar kita tidak tertipu.

Zikir itu hubungan dengan Tuhan,
Tasbih itu puj-pujian kepada Tuhan,
Solat itu tanda syukur sebagai hamba Tuhan
dan Al-Quran itu adalah pengamalan
kehidupan yang diredhai Tuhan

Motivasi Unggul 4

Sabda Rasulullah saw. mengenai akhlak yang baik:
  1. "Kekejian dan perbuatan keji, sama sekali bukan dari ajaran Islam. Sesungguhnya orang yang terbaik keislamannya adalah yang terbaik budi pekertinya." (HR. Tirmidzi)
  2. "Allah tidak melihat kepada tubuh kalian, dan tidak pula kepada bentuk kalian. Allah hanya melihat hati dan perbuatan kalian." (HR Muslim)
  3. "Budi pekerti yang baik dapat mencairkan dosa seperti air mencairkan gumpalan salju. Sedangkan perangai buruk dapat merosak amal saleh sebagaimana cuka merosakkan madu." (HR Baihaqi)
  4. "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat kelak, dibandingkan budi pekerti yang baik. Orang yang berbudi pekerti luhur dapat mencapai martabat orang yang berpuasa dan mendirikan solat." (HR Ahmad bin Hambal)


Tafsir (Al-Quran) - Secara ringkas/umum

Tafsir Al-Quran adalah penjelasan tentang maksud firman Allah SWT. Apa yang Allah SWT firmankan kita perlu mentafsirkannya. Di dalam Al-Quran, Allah SWT menggunakan perkataan-perkataan yang pelbagai dengan cara pemahaman yang pelbagai. Penjelasan tentang firman Allah sesuai dengan kemampuan manusia.

Menurut Quraish Syihab, keagungan firman Allah SWT dapat menampung 4 perkara:

1. Kemampuan - sejauh mana kita mampu mencerna atau melihat tafsir itu. Ianya mempunyai perbezaan berdasarkan kemampuan masing-masing.

Contohnya:

اقرءا (Bacalah)

Ada orang faham اقرءا adalah baca buku, baca internet, baca majalah dan sebagainya. Tetapi bagi individu yang memahami bahasa arab اقرءا bermaksud baca kepada alam atau baca kepada pelbagai perkara, bukan hanya baca buku sahaja. Bagi individu yang memahami lebih mendalam tentang bahasa arab, اقرءا dari perkataan قرءا yang bermaksud menghimpunkan menjadi suatu sistem (objek/tujuan). Contohnya, kalau kita buat kajian tentang sesuatu perkara, itu juga adalah اقرءا kerana kita menghimpunkan pelbagai buku lalu menghasilkan satu hasil kajian.

2. Tingkat/tahap manusia- apa yang sudah sedia ada pada diri kita.

3. Kecenderungan

Contohnya:

Kalau seseorang itu minat kepada falsafah, maka bila ia baca Al-Quran ia akan nampak falsafahnya. Kalau seseorang yang minat kepada bahasa, maka apabila ia baca Al-Quran ia akan nampak hebatnya bahasa Al-Quran itu. Manakalau kalau seseorang itu minat pasal hukum, suka bercakap pasal hukum, apabila ia tengok pada Al-Quran ia akan nampak hukum.

4. Kondisi/keadaan yg berbeza-beza.


Objektif tafsir Al-Quran:

1. Al-Quran itu dapat menampung pelbagai keadaan ruang dan masa.

2. Menolak kepada ketidak fahaman Al-quran kerana Al-Quran itu sempurna dan ia disusun secara tauqifi (ditentukan oleh Allah SWT)

Ilmu yang diperlukan untuk mentafsirkan Al-Quran:

1. Asbabunnuzul (sebab2 turunnya Al-Quran)

2. Nasihk wa mansukh (ayat yang kemudian akan memansuhkan ayat yang awal.) – Allah nak tunjukkan bahawa dalam Islam ada proses dalam melaksanakannya.

Contohnya: pengharaman arak – mula-mula arak diharamkan ketika hendak sembahyang. Tetapi apabila ada yang lalai dalam sembahyangnya maka arak terus diharamkan. Ayat tentang arak haram ketika hendak sembahyang sahaja tidak boleh digunakan lagi.

Marilah kita mempelajari tafsir Al-Quran!! Terdapat pelbagai tafsir yang ada di dalam pasaran. Kalau perlu, carilah ilmuan untuk mengajarkan kepada kita mengenai tafsir Al-Quran. Al-Quran merupakan mukjizat teragung. Jangan sia-siakannya!

Mencari Mardhatillah 12

Rakan. Sahabat. Kawan. Teman. Apa lagi yang seerti? Rakan, sahabat, teman dan kawan memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, kawan mencerminkan kehidupan kita. Berkawanlah dengan mereka yang boleh membimbing dan membawa kita kepada taqwa dan keredhaan Allah.

Dalam aku menggapai redha Allah, teman-teman banyak membantu. Temanlah yang membawa aku ke dalam tarbiyyah. Aku mula mengenal Islam yang sebenar. Benarlah bahawa istilah “teman seakidah lebih kuat dan utuh berbanding ikatan persaudaraan”. Aku akuinya bila aku mula berada dalam tarbiyyah. Itulah anugerah Allah yang berharga buatku.

Anugerah – Durrani

Hadirmu wahai teman memberikan kekuatan

Di kala ku perlukan sokongan dan bantuan

Di dalam kesulitan engkau tunjukkan jalan

Tiada kata untuk kulafazkan

Kiranya ku aur engkau adalah tebing

Itulah hakikat kita saling perlukan

Inilah persahabatan anugerah Tuhan

Untuk hamba yang inginkan kebahagiaan

Hubungan terjalin dengan diri terpimpin

Persengketaan adalah dugaan

Dengan iman di hati amalan dibaiki

Terjalinlah satu ikatan murni

Dalam kesempatan ini, aku ingin memohon seribu kemaafan daripada teman-teman yang pernah bertemankan aku sekiranya aku melakukan kesalahan. Samada secara sedar atau tidak sedar. Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa yang sering melakukan kesilapan atau kesalahan. Malah, dalam mencari mardhatillah aku sering alpa dengan janji-janji Allah dalam manual book kita yakni Al-Quran.

Renungan bersama 7

Al-Quran itu adalah panduan hidup.
Andai kita menghadapi kemusykilan,
rujuklah Al-Quran dengan penuh harap
walau hanya merenung huruf-hurufnya sahaja.

Insan yang bijak
adalah yang sering mengingati mati ,
susunan hidup teratur,
silaturrahim dijaga dan amanah terlaksana,serta
tidak lalai dengan keindahan dunia yang sementara.


Tadabbur 2 .

Islam itu bukanlah sesuatu yang ad hoc. Islam ini mementingkan kepada kesesuaian yang memerlukan kepada penyusunan berasaskan kepada aulawiyat (keutamaan). Tadabbur berasal dari perkataan د بر .د بر maksudnya sesuatu yang dibelakang. Oleh sebab itu dubur adalah anggota di belakang.

Tadabbur: kita tidak ada option lain sebab dalam dunia ini banyak perkara yang kita perlu tadabbur. Akan tetapi perkara terutama yang kita perlu tadabbur: Tadbir. Allah menggunakan perkataan tadbir ini di dalam Al-Quran hanya untuk Allah sahaja. Kalau nak dibantu pun oleh para makhluknya seperti malaikat dan lain-lain. Tadbir itu hanya milik Allah. Tadbir juga berasal dari د بر. Apabila kita memahami د بر memang kita ini perlu mentadabbur apakah yang ditadbir oleh Allah - tidak ada pilihan lain. Sekiranya nak mentadbir sesuatu seperti jabatan, sekolah dan sebagainya, wajib untuk kita mentadbirnya sama dengan tadbir Allah. Kalau kita tidak mengikut peraturan tadbir Allah, memang pentadbiran kita akan menjadi tunggang langgang.

Apabila kita ni nak mentadabbur, kita kena ingat bahawa tadbir adalah daripada Allah. Kita nak mentadabbur cara Allah mentadbir dunia ini. Allah itu Maha Sempurna, ini merupakan keimanan tauhid kita – kita juga wajib untuk cuba mencontohi kepada sifat-sifat Asmaul Husna. Setiap sifat-sifat Allah mempunyai keunikan yang tersendiri. Apabila kita sedang mencontohi sifat-sifat Allah itu maksudnya kita sedang mentadabbur pentadbiran Allah. Kita tidak seharusnya mengikut sistem lain kerana sistem lain semuanya akan bercerai-berai.

Renung-renungkan!!

Tadabbur 1

افلا يتد برون القزءان ام علي قلو ب اقفا لها

47(Muhammad):24. (setelah diterangkan Yang demikian) maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Persoalan di dalam ayat di atas: Apakah kamu tidak memperhatikan/melaksanakan tadabbur terhadap Al-Quran? ATAU di atas hati itu ada kunci? Manusia ini kalau tidak diberi masa dan tidak mahu mencari kunci tersebut, maka kunci itu tidak dapat dibuka. Ia seperti mangga yang dikunci. Mahukah kalian sekiranya hati kalian dikunci? Dikunci agar tidak dapat memahami firman-firman Allah.

Realiti manusia zaman sekarang adalah ramai yang tidak tadabbur. Mereka hanya membaca dan berusaha untuk mengkhatamkan Al-Quran tanpa berusaha untuk mentaddabur.Di antara sebab manusia yang tidak taddabur itu kerana (kunci di dalam hati):

1.Tidak tahu maksudnya,

2.Tidak tahu kaedahnya,

3.Tidak mampu tadabbur kerana dia tidak susun masa untuk tadabbur.

Maka di sini, saya menyeru kepada semua agar direnungkan kembali tentang tadabbur. Sejauh mana kita telah mengamalkan tadabbur? Bagi saya, sebagai permulaan bagi yang tak biasa, marilah kita membaca Al-Quran kemudian disusuli dengan menbaca terjemahan ayat yang telah kita bacakan.

Fikir-fikirkan!!

Renungan bersama 6

Hukum Allah itu banyak hikmahnya.
Hanya yang beriman sahaja sanggup melaksanakan.
Hukum yang dilaksanakan tanpa kefahaman iman,
adalah satu penganiayaan.

Iman dan amal adalah bersifat sendiri
dan tidak boleh dijual beli
mahupun diwariskan kepada anak cucu.
Yang boleh diwariskan hanyalah ilmu
dan perjalanan iman itu.

Motivasi Unggul 3

"Dan Allah SWT mencintai orang yang sabar." ((3) Ali Imran: 146)

"Sesungguhnya Allah SWT bersama-sama mereka yang sabar." ((2) Al-Baqarah: 153)

"Dan sekiranya hamba-Ku bertanya tentang-Ku kepadamu (wahai Muhammad) maka (katakanlah) sesungguhnya Aku amat dekat." ((2) Al-Baqarah: 186)

Mencari Mardhatillah 11

Hari ni hari keempat aku kembali menjalani latihan di Kulim. Aku berjaya laluinya. Alhamdulillah. Kesyukuran kupanjatkan pada Ilahi.Aku sedikit kembali pulih. Semua ini adalah anugerah Allah yang amat berharga buatku. Fikiranku kembali optimis.

Masa jumpa Dr Salwa aritu taklah begitu elok perasaanku. Malah Dr Salwa kecewa dengan sikap aku yang tidak makan ubat seperti yang diarahkan. Bukan sengaja aku tak mau makan ubat ikut arahan, tapi aku tak mau kesan sampingan ubat tu mengganggu perjalanan aku untuk turut merebut tawaran Allah di akhir Ramadhan aritu. Perbincangan aku agak lama kali ni. Aku menyatakan hasrat untuk berubat dengan rawatan alternatif kerana aku dah penat dengan rawatan hospital. Aku teringat masa awal perjumpaan aku dengan Dr Salwa dulu, dia ada meminta untuk aku beri peluang mereka merawat aku. Aku jadi serba salah. Mana satu aku harus pilih? Sikapku yang amat susah untuk membuat keputusan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk. Langkah pertama yang aku lakukan adalah meluahkan pada Allah Yang Maha Esa. Dia lebih tahu keadaan hambaNya. Kemudian, aku consult dengan makcik Su. Aku sedikit lega.

Pesanan Basmin, bersabar dan optimis untuk lulus keluar dari ujian ni. Bagiku, setelah apa yang aku lalui, agak sukar juga untuk sabar dan optimis. Allah mencipta 'ujian' sesuai dengan diri kita sendiri.

Tapi, aku perlu berusaha!! Terus berusaha tanpa rasa jemu. Walaupun sebenarnya aku dah jemu dengan rawatan di hospital. Ya Allah, perjalanan menuju RedhaMu penuh ranjau dan duri. Ujian yang Kau berikan untuk menguji sejauh mana kesabaran hambaMu menerima segala Qada’ dan QadarMu. Ampunkan aku Ya Allah….

Renungan bersama 5


Kaya harta benda itu
adalah amanah Allah
bagi pembangunan ummah
dan kesejahteraan iman
demi pengabdian diri kepada Allah.

Jauh berjalan luas pandangan
dan banyak pengalaman.
Perjalanan yang baik adalah
perjalanan mengenal Allah
kerana pandangan dan pengalaman itu
akan menjadi penyuluh kehidupan.

Motivasi Unggul 2

Abu Hurairah ra menyatakan, Rasulullah saw bersabda: "Apabila Allah mencintai seorang hamba, maka Dia memberinya cubaan (ujian) agar Allah mendengar Tadhorru'nya (rintihan memohon kepadaNya)". (HR Baihaqi)

Abu Sa'id ra memberitahukan, Rasulullah saw bersabda, "Tidak ada suatu cubaan yang menimpa orang mukmin seperti sakit biasa, sakit berat, kesedihan dan kecemasan, melainkan Allah SWT hapuskan dosa-dosanya kerananya." (HR Muslim)

Anas ra memberitahukan, bahawa Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman: Apabila aku menguji hambaKu dengan kebutaan kedua matanya, lalu ia sabar, makan Aku akan menggantinya dengan syurga kerana kebutaan kedua matanya itu."(HR Bukhari)

Ummu Salamah ra menuturkan, Rasulullah saw bersabda, "Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah, lalu mengucapkan 'sesungguhnya kita milik Allah, dan kita pasti kembali kepadaNya. Ya Allah, berilah ganjaran pahala dalam musibahku ini', melainkan Allah memberikan ganjaran pahala dalam musibahnya. Dan Dia memberi ganti baginya dengan yang lebih baik". (HR Muslim)

Mencari Mardhatillah 10

Hari ni, 1st time aku dok sorang di rumah. Nasib baik ada si Tam. Semalam, papa, mama, bglong dan man pulang berhari raya di Klang. Papa nak jumpa bondanya di rumah ucu. Aku tak dapat ikut sebab esok ada appointment dengan Dr Salwa dan lusa, aku akan mulakan latihan aku kembali.

Esok aku akan berjumpa Dr Salwa. Aku berdebar jugak ni. Tak tau apa akan berlaku esok. Harapan aku sangat tinggi. Seperti biasa aku memang sering meletakkan harapan yang tinggi dalam banyak perkara. Tentang ubat, aku rasa tiada perubahan akan dibuat. Ya Allah, Kau berkatilah usahaku yang tak seberapa ini. Aku hanya inginkan redhamu.

Aku akan terus berusaha. Berusaha untuk sihat. Selebihnya, aku harus berserah dan bertawakal padaNya. Yakin pada janji Allah. Dalam surah At-Thalaq ayat 3, Allah berfirman yang bermaksud: " Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang BERTAWAKAL kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."

Motivasi Unggul 1

"Dan masing-masing orang memperoleh derajat-derajat (yang sesuai) dengan apa yang dikerjakannya. Dan Tuhanmu tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan" ((6)Al-An'aam:132)

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula"((99)Az-Zalzalah:7-8)

Mencari Mardhatillah 9

Manusia adalah sebaik-baik ciptaan. Allah memberi penghormatan dengan meminta malaikat dan iblis sujud pada Nabi Adam as. Bukankah itu menunjukkan manusia ini mulia? Mulia sekiranya menjadi hamba yang taat pada penciptanya.

Ujian demi ujian yang harus aku lalui. Selagi kita bergelar manusia dan hamba Allah, kita takkan lari dari ujian ini. Dengan sabar dan solatlah kita dapat lalui ujian yang diberikan. Sabar. Berapa lama lagi aku harus bersabar Ya Allah. Aku tak kuat. Aku hambaMu yang lemah. Aku cuma manusia biasa yang inginkan ketenangan. Aku bukanlah Nabi Ayyub as yang tahan dan bersabar tika diuji.

Aku merasa sembuh hanya sekejab. Masa aku jumpa Dr Salwa last month aku siap mintak agar aku tak perlu jumpa sebulan sekali. Tapi mungkin 2 atau 3 bulan sekali. Maka, Dr Salwa pun bagi appointment lewat sikit. Aku merasa gembira dan excited masa nak mula latihan di Kulim…..tapi Allah uji sekali lagi secara tiba-tiba. Di saat aku gembira berada dalam bulan Ramadhan. Gembira berbuka bersama-sama akhawat di rumah ustazah.

Rupanya keadaan aku masih belum stabil dan sembuh. Walaupun aku rasa sembuh waktu tu…..mungkin sebenarnya aku tak sembuh. Menurut Dr Salwa. Pihak Dr Salwa dan Dr Sham silap kerana terlalu cepat turunkan dos ubat aku. Dr Sham yang turunkan dos epilim dari 2 biji sehari kepada 1 biji sehari. Sebelum tu, Dr Salwa tukarkan dari Prozac kepada Cymbalta. Waktu tukar tu, memang aku dapat rasakan perubahan dan waktu tu jugak aku rasa sembuh dan stabil sehingga dapat jalani latihan dan mintak jarakkan perjumpaan dengan Dr.

Ah, itu semua hanya andaian. Allah Maha Mengetahui. Kita ni milik Allah. Allah Maha Bijaksana. Dia masih mahu menguji aku. Dia mahu melihat sejauh mana tahap kesabaran dan ketaqwaan hambanya. Berusaha dan teruskan berusaha. Ingat akan janji-janji Allah. Teruskan berusaha. Teruskan berdoa. Itu hak kita. Hak Allah untuk makbulkan atau belum lagi. Bila Allah akan kabulkan hanya Dia yang tahu. Kita semua makhluk ciptaanNya. So, apa nak heran? Dia yang tadbir seluruh alam ini kan.....

Renungan bersama 4

Bajai iman dengan mujahadah kehidupan
Didik nafsu dengan berpuasa
Asah fikiran dengan fikir mati
Bentuk peribadi dengan Solat
dan Bina kalam dengan bertasbih

Kata Basmin tentang muhasabah diri:
“Renung hidup seharian..
lihat prestasi diri dalam menjadi hambaNYA.
Mengaku segala salah dalam
Tahajud dan Taubat.
Bertekad untuk menjadikan hari esok
lebih baik dari semalam.”

Mencari Mardhatillah 8


Aku kini bergerak menuju ke utara. Dah lama aku tak menulis. Terasa ingin menulis dalam keretapi ni. Sekali lagi aku sukar untuk membuat keputusan. Mama dan man nak aku berubat dengan ustazah. Rawatan cara sufi katanya. Apa yang aku makan selama ni, semuanya dadah yang akan merosakkan badan aku. Hati aku berat untuk mengubat cara ustazah. So, perlukah aku istikharah lagi kerana hati aku berat untuk berubat cara ustazah? Bukan aku tak percaya cara ustazah, tapi permintaan ustazah untuk suruh aku berhenti rawatan dengan pakar amat susah untuk aku buat pilihan. Aku dah consult dengan Makcik Su dan Basmin. Makcik Su sangsi. Basmin plak kata kurang arif dan suruh Tanya doctor yang tengah monitor aku. Memang Dr Salwa suruh call dia dulu kalau nak buat keputusan yang besar-besar dan penting. Ah lupakan!

Sejak tukar AD lain ni aku rasa ada perubahan pada diriku. Aku dah tak fikir perkara yang tak perlu difikirkan. Alhamdulillah. Selepas 2 minggu makan cymbalta,Dr Sham tukar AP baru plak. Namanya zydis. Katanya ubat ni mungkin tak beri kesan dengan menambahkan berat badan aku seperti olanzapine.

Ini semua kerja Allah. Aku dah berusaha dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Berserah sepenuhnya pada Allah. Syukurku panjatkan pada Ilahi kerana telah memberkati usahaku selama ini.