Mencari Mardhatillah 53

Aku bersyukur kerana dapat kembali berkhidmat. Aku dapat menyumbang tenaga kepada atfal jannah.  Atfal jannah merupakan tempat rehabilitasi untuk kanak-kanak yang berkeperluan khas. Mereka adalah anak-anak syurga InshaAllah. Penerimaan Psikologis Klinikal terhadap aku adalah sesuatu yang amat bermakna. Walaupun aku tidak seperti orang lain dan mempunyai sejarah penyakit Bipolar, namun beliau tetap menerima aku apa adanya. Alhamdulillah. Pemberian Allah melalui perantara beliau adalah sesuatu yang harus aku syukuri. Firman Allah dalam surah al-‘Araf pada ayat 144:

 فَخُذۡ مَآ ءَاتَيۡتُكَ وَكُن مِّنَ ٱلشَّٰكِرِينَ ١٤٤
“Oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur.”

Penyusunan Allah adalah yang terbaik. Allah tahu akan keperluan hambaNya. Maka dengan itu aku ditakdirkan untuk diuji dengan penyakit mental ini iaitu Bipolar II Disorder. Sehingga kini aku masih di dalam pemantauan pakar di PPUKM dan aku masih perlu untuk mengambil beberapa jenis ubat-ubatan untuk mengawal mood aku. Selain itu, aku juga harus menjalani ECT pada setiap 3 minggu. Inilah takdir yang aku harus lalui. Aku akan laluinya dengan redha. Hanya dengan redha aku tidak akan tertekan dan murung. Terimalah dengan redha pembahagian Allah SWT.

Aku harus selalu dan sentiasa ingat akan pemberian dan anugerah yang dilimpahkan kepadaku dari Allah SWT. Tidak terhitung sebenarnya akan anugerah Ilahi. Kini hampir 33 tahun aku hidup dan menghirup udara Allah. Kehidupan adalah satu pemberian dan anugerah yang tidak ternilai dan amatlah berharga. Aku sedar bahawa aku pernah tidak menghargai akan kehidupan ini. Aku “penat” dan putus asa dengan takdir yang berlaku atasku. Aku merasakan “lelah” dengan penyakitku ini dan sudah tidak larat lagi untuk menjalani perawatan yang bagiku amatlah lama sejak 2006. Namun, Alhamdulillah aku dapat berfikir lalu bersyukur dengan takdir Ilahi terhadapku ini. Ingatlah akan firman Allah dalam surah Luqman ayat 20:

وَأَسۡبَغَ عَلَيۡكُمۡ نِعَمَهُۥ ظَٰهِرَةٗ وَبَاطِنَةٗۗ 
“Dan Dia telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin?”

Aku juga harus memperingatkan diriku supaya membiarkan masa hadapan datang sendiri seperti firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 1:

أَتَىٰٓ أَمۡرُ ٱللَّهِ فَلَا تَسۡتَعۡجِلُوهُۚ 
“ Telah pasti datangnya ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan”.

Kita tidak boleh mendahului peristiwa yang belum terjadi. Kita harus sedar bahawa Allah adalah sebaik-bak perancang. Kita tidak harus bimbang akan perancangan Allah kerana itu adalah yang terbaik. Maka apa yang terjadi kepada diriku yang bergelar sebagai pesakit mental bernama Bipolar II Disorder adalah kerana aku dipilih oleh Allah untuk melalui onak dan ranjau sebagai pesakit Bipolar. Aku harus bersyukur dengan pemilihan Allah ini kerana ianya adalah anugerah dari Pencipta kepada hambaNya.

Sekarang, aku harus bangkit untuk melawan semua perasaan negatif yang sering menyelubungi aku suatu ketika sebelum ini. Perasaan dan bisikan negative ini sebenarnya adalah bisikan dari syaitan yang ingin kita jauh dari redha Allah. Dalam mencari mardhatillah kita harus bersikap positif dengan semua perancangan dan pemberian Allah kepada kita. Kita pasti tenang sekiranya kita bersikap positif, inshaAllah. Yakinlah!

Kadang kala aku sering lupa bahawa kita tidak boleh membandingkan diri kita dengan orang lain. Sekiranya kita membandingkan diri kita dengan sahabat kita misalnya, kita akan kecewa kerana kita tidak sama dengannya. Mungkin beliau nampak berjaya dalam pelajaran dan akhirnya di alam pekerjaannya. Aku? Ditakdirkan untuk tidak mendapat keputusan cemerlang ketika belajar, dan akhirnya di alam pekerjaan juga tidak secemerlang sahabatku itu. Perbandingan ini akan membuahkan kekecewaan pada diriku.
Kini, aku sedar akan kekhilafanku sebelum ini. Rezeki, jodoh dan ajal telah ditetapkan di Lauh Mahfuz. Aku redha dan bersyukur. Tidak akan terjadi sesuatu bencana di bumi ini dan tidak akan terjadi musibah pada diri ini kecuali ianya telah ditentukan dalam ketentuan Allah sebelum kewujudan kita lagi. Tugas dan tanggungjawab kita sebagai hambaNya adalah sentiasa taat dan patuh kepada apa yang telah diperintahkan ke atas kita sebagai ciptaanNya. Kita juga harus sentiasa memburu dan mencari mardhatillah supaya kita selamat di dunia mahupun di akhirat kelak.

Allah tidak akan menarik suatu kenikmatan kecuali Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Sekiranya kita diuji dan menganggap sebagai beban, kita seharusnya bersabar dan selalu mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT. Berdasarkan apa yang aku lalui, aku berkeluh kesah, tetapi kini aku menganjurkan supaya tidak berkeluh kesah terhadap sesuatu musibah kerana balasannya adalah syurga dan pahala yang melimpah ruah di sisi Allah SWT. Seperti yang kita tahu, perjalanan para nabi dan wali juga diuji dan menerima pelbagai tentangan. Namun, Allah mengurniakan balasan syurga dari Yang Maha Kuasa. Allah berfirman dalam surah Ar-Rad’ pada ayat 24:

 سَلَٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ ٢٤
24. Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.


Selain itu, tertawa adalah ubat yang mujarab bagi menghilangkan keresahan dan kesedihan. Tertawa juga merupakan salah satu dari pemberian Allah. Hanya dengan memiliki kekuatan yang menakjubkan untuk membuat jiwa senang dan hati yang tenang. Ketika aku dirundung kemurungan, adalah amat mustahil untuk aku tersenyum apatah lagi tertawa. Tertawa juga merupakan mutiara kelapangan hati, tetapi bukanlah tertawa yang berlebihan. Untuk aku tertawa amatlah sukar tetapi bersyukurlah dengan kurniaan Allah padaku untuk boleh tersenyum kerana terdapat dalam hadis bahawa “Senyuman itu adalah sedekah”. Senyum juga merupakan pemberian yang amat bernilai bagi aku.

Mencari Mardhatillah 52

Allah SWT telah menjaga kebenaran keperibadian seorang muslim dari kehinaan yang rendah. Seorang hamba tidak mungkin boleh menolak kebaikan jika Allah telah mengkehendakinya. Begitu juga sebaliknya. Firman Allah:
وَإِن يَمۡسَسۡكَ ٱللَّهُ بِضُرّٖ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَۖ وَإِن يُرِدۡكَ بِخَيۡرٖ فَلَا رَآدَّ لِفَضۡلِهِۦۚ يُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦۚ وَهُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ١٠٧
107. Dan jika Allah memberikan engkau dengan sesuatu yang memudharatkan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
(Yunus: 107)

Aku seharusnya terus sabar dan tabah dengan ujian ini. Tetapi apa yang pasti adalah tidak mudah untuk meraih kesabaran dengan keadaan aku yang telah diuji hampir 8 tahun ini. Sepanjang 8 tahun, aku telah menempuhi pelbagai rintangan dan liku-liku yang amat payah bagi aku untuk aku laluinya. Pada ayat lain, Allah SWT menerangkan:
مَّا يَفۡتَحِ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحۡمَةٖ فَلَا مُمۡسِكَ لَهَاۖ وَمَا يُمۡسِكۡ فَلَا مُرۡسِلَ لَهُۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٢
2. Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Fathir:2)

Dalam kedua-dua ayat di atas sangat memotivasi aku untuk terus melalui ujian yang Allah takdirkan istimewa buat diriku. Aku akan sabar menanti rahmat Allah padaku. Sabar! Sabar! Dan sabar! 

Mencari Mardhatillah 51



Kerani di Atfal Jannah. Itu adalah jawatan baru yang ditawarkan kepadaku untuk mula berkhidmat pada Januari 2014. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.(Al-Fatihah:2). Syukurku panjatkan ke hadrat Ilahi. Akhirnya penantianku bertemu kepada cahayanya. Sebelum ini aku sering tertanya-tanya adakah aku akan begini selamanya, menjadi penganggur dan hanya mengharapkan bantuan dari Kementerian Kebajikan Masyarakat?

Kali ini aku harus bertahan dan menjaga sebaik-baiknya amanah yang telah diamanahkan kepada aku. Aku juga tidak boleh memandang mudah dan mengabaikan tugas yang bakal diberikan nanti. Aku harus senantiasa berdoa kepada Allah SWT supaya memberkati tugasku yang baru ini kerana ini semua adalah rezeki dari Allah. Allah yang memberinya dan Allah juga punya hak untuk menarik kembali rezeki yang dianugerahkan ini.

مَّا يَفۡتَحِ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحۡمَةٖ فَلَا مُمۡسِكَ لَهَاۖ وَمَا يُمۡسِكۡ فَلَا مُرۡسِلَ لَهُۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٢
2. Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Apabila kita menginginkan kebahagiaan, maka kita harus menerima dengan redha bentuk penyusunan Allah. Penyusunan Allah kepadaku amatlah bermakna kerana penyusunan ini adalah tarbiyah Allah kepadaku. Allah ingin mendidik aku supaya aku belajar bersabar dengan ujian yang diberikan. Selain sabar, redha dan syukur juga sesuatu yang dapat diterapkan dari ujian istimewa ini. Alhamdulillah atas semua aturan dan perancangan Allah SWT.

Mencari Mardhatillah 50


Hari ini genap 10 hari pemergian nendaku tersayang kembali menemui Tuhannya. Persoalan yang sering hadir, bila pula tiba giliran aku? Aku seperti ingin turut mengikut nendaku: Atok Ne. Atok ne mangkat di usia 98. Pemergiaanya mudah. Hanya sesak nafas beberapa hari dan Allah terus memanggilnya. Telah Allah takdirkan juga di mana Atok dimakamkan di Makam Diraja Shah Alam. Rezeki Ucu yang menjaga di akhir usia Atok, makam yang berhampiran dengan Ucu. Alhamdulillah.

Entah kenapa beberapa hari ini aku murung dan sedih sehingga mengalirkan air mata. Malah kelmarin, ubat penenang terpaksa diberikan pada aku kerana aku terlampau sedih. Manakala tadi pula jururawat ingin memberi lagi ubat penenang atas arahan doktor, tetapi aku menolak.

Perasaan ingin mengikut jejak langkah atok begitu kuat. Sepertinya apabila nyawa diambil, bebanan terhadap penjaga dan waris pastinya berkurangan atau malah terus hilang bebanan tersebut. Niat aku juga kerana tidak mahu lagi membebankan orang tuaku. Hidupku telah banyak menyusahkan mereka. Usia mereka 60 lebih. Malah, papaku akan mencecah 70 tahun pada tahun hadapan. Keadaan terjadi sebaliknya. Kebiasaannya, anak yang sudah dewasa menjaga ibu bapanya yang telah tua. Tetapi dalam kes aku, papa dan mama yang telah tua menjaga satu-satunya anak perempuannya yang telah dewasa.

Mencari Mardhatillah 49


Sahabat. Di dalam kekalutan aku tercari-cari cahaya. Tiba suatu ketika, aku menemui satu sinar ceria di raut wajahmu. Kaulah sahabat yang memberikan aku secalit cahaya dan membimbing aku agar terus tabah di jalan yang berliku ini. Allah tidak menjanjikan suatu kehidupan yang indah tanpa onak dan duri. Ianya masih terus menguji aku. Menguji kesabaran dan ketabahan sebagai seorang hamba yang lemah.

Andainya alam ini mampu berkata-kata, pastinya pujian buat dirimu. Aku merasakan akulah yang bertuah kerana mempunyai sahabat sepertimu. Aku mengharapkan agar ikatan ukhuwah yang terbina atas dasar perjuangan di jalan Allah akan terus mekar selamanya. Ikatan ini tidak boleh dijual beli kerana harganya tidak ternilai. Hanya yang Maha Esa dapat menilai ikatan suci ini. Ya Allah, Kau berkatilah kurniaan yang Kau berikan padaku ini.

Sahabat, kau bimbinglah aku menuju cahaya Ilahi. Cahaya yang menjanjikan kebahagian di dunia mahupun di akhirat. Dunia merupakan ladang akhirat. Maka setiap apa yang dilakukan di dunia akan diambil kira dan dihitung untuk menentukan kedudukan kita di akhirat kelak. Jadi, kita haruslah melakukan apa sahaja dengan niat hanya kerana Allah SWT. Ujian ini kadang kala melemahkan imanku. Aku menjadi leka dan lalai dalam menjalani kehidupan sebagai hambaMu. Ampunkan aku ya Allah.

Sahabat, aku merasa lemah mengharungi ranjau dunia. Aku ingin menjadi sepertimu yang sentiasa dalam ketenangan menghadapi hidup ini. Aku kagum dengan sikapmu wahai sahabat. Aku bersyukur kerana ditakdirkan untuk mengenali dirimu. Aku juga mengharapkan agar kita akan terus bersama menghadapi segala suka dan duka. Semoga kejayaan milik kita agar hidup menuju mulia.

Hadirmu sahabat telah menyuntik selautan kekuatan di kala aku memerlukan sokongan dan bantuan. Di dalam kesulitan yang aku tempuhi engkau cuba untuk menunjukkan jalan. Jalan yang diberkati dan jalan yang menuju mardhatillah. Tiada lagi kata-kata untuk aku melafazkan atas segala yang kau lakukan untuk aku. Aku bersyukur dengan kurniaan yang tidak ternilai ini. Sekiranya aku aur, engkau adalah tebing. Itulah hakikat di mana kita saling memerlukan. Inilah persahabatan yang dianugerahkan oleh Allah untuk hamba yang inginkan kebahagiaan. 

Mencari Mardhatillah 48


Ya Allah, aku hambamu yang lemah dan aku juga sedang kekeliruan. Keliru adakah jalan yang ku lalui ini sedang menuju kepadaMu. Adakah aku berada di jalan yang benar?? Ah!  Agak payah dan sukar untuk aku mencari jalan yang benar kerana sering dipaut hasutan dunia. Kadang kala aku mencintai yang lain lebih dari mencintaiMu ya Allah. Ampunkan aku. Kau Maha Pengampun. Kau juga Maha Penyayang. Dengan rahmat dan kasih sayangMu, aku masih berada di bumiMu ini. Kau kuatkanlah aku untuk terus mendapat redhamu. Redhamu penting untuk kebahagian dan ketenangan aku.

Ya Allah, hidayahmu pernah hadir sehingga aku berjaya mengislahkan diri dan berada dalam bi’ah solehah. Hidayahmu juga hadir sehingga kering airmataku menitis. Namun terkadang aku berpaling kerana mengejar nikmat dunia yang sementara. Kadang kala dunia melekakan dan memperdaya diri ini. Namun, aku masih punya seorang sahabat yang masih ingin melihat sahabatnya untuk berada dalam jalan yang benar. Aku berasa sangat beruntung mempunyai sahabat yang begitu sabar dan beliau adalah orang yang sangat tenang menangani aku. Syukurku panjatkan pada Ilahi kerana menganugerahkan harta yang tidak ternilai ini. Alhamdulillah.

Ya Allah, hari ini kubimbangi jika terakhir hidupku ini, adakah masih ada lagi subuh esok untukku bernafas dan sujud mengabdi padaMu?? Pernah kadang kala aku menginginkan agar hidupku yang kurasakan begitu sukar sekali ini berakhir. Tetapi, adakah aku benar-benar bersedia? Adakah timbangan amalku akan menjamin aku selamat dan menikmati syurga yang dijanjikan? Adakah hanya dengan ujian yang tak seberapa ini jika dibandingkan ujian mereka yang terdahulu ini aku sudah berputus asa? Semua jawapan dari persoalan yang aku bangkitkan ini berada di bahuku sendiri. Hanya aku yang tahu apa langkah yang harus diambil bagi meraih redha Allah yang Maha Esa.

Ya Allah, berikanlah aku kesempatan bagi menebus kesalahan lantaran dosa, noda dan sengaja melupakanMu. Aku mengharapkan agar Kau menghadirkan damai sebelum di hujung nafasku. Oh Tuhan berikan daku petunjukmu untuk ku meniti ke jalan redhamu. Izinkan daku mengulangi janji-janji yang baru. Taubat nasuha setulus untukmu oh Tuhan

Motivasi Unggul 21

At-Tabrani meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Semua orang yang mati syahid akan dikumpulkan untuk dihisab. Kemudian dikumpulkan pula orang yang suka bersedekah untuk dihisab. Kemudian dikumpulkan orang yang ditimpa bala atau orang mukmin yang menerima bala. Bagi mereka itu tiada timbangan amal atau hisab. Malah Allah akan melimpahkan pahala sebanyak-  banyaknya untuk mereka. Sehinggakan orang yang sihat dan tidak menderita terasa kalau badan mereka  dipotong, mereka akan rela sebab melihat betapa besarnya pahala yang Allah berikan kepada orang yang  menanggung bala itu."

                            _______________________________________________

Betapa Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Penyakit adalah ladang amal.......

Ampunkan aku ya Allah sekiranya kadangkala aku berputus asa dengan ujian ini.