Mencari Mardhatillah 50


Hari ini genap 10 hari pemergian nendaku tersayang kembali menemui Tuhannya. Persoalan yang sering hadir, bila pula tiba giliran aku? Aku seperti ingin turut mengikut nendaku: Atok Ne. Atok ne mangkat di usia 98. Pemergiaanya mudah. Hanya sesak nafas beberapa hari dan Allah terus memanggilnya. Telah Allah takdirkan juga di mana Atok dimakamkan di Makam Diraja Shah Alam. Rezeki Ucu yang menjaga di akhir usia Atok, makam yang berhampiran dengan Ucu. Alhamdulillah.

Entah kenapa beberapa hari ini aku murung dan sedih sehingga mengalirkan air mata. Malah kelmarin, ubat penenang terpaksa diberikan pada aku kerana aku terlampau sedih. Manakala tadi pula jururawat ingin memberi lagi ubat penenang atas arahan doktor, tetapi aku menolak.

Perasaan ingin mengikut jejak langkah atok begitu kuat. Sepertinya apabila nyawa diambil, bebanan terhadap penjaga dan waris pastinya berkurangan atau malah terus hilang bebanan tersebut. Niat aku juga kerana tidak mahu lagi membebankan orang tuaku. Hidupku telah banyak menyusahkan mereka. Usia mereka 60 lebih. Malah, papaku akan mencecah 70 tahun pada tahun hadapan. Keadaan terjadi sebaliknya. Kebiasaannya, anak yang sudah dewasa menjaga ibu bapanya yang telah tua. Tetapi dalam kes aku, papa dan mama yang telah tua menjaga satu-satunya anak perempuannya yang telah dewasa.

No comments: