Mencari Mardhatillah 49


Sahabat. Di dalam kekalutan aku tercari-cari cahaya. Tiba suatu ketika, aku menemui satu sinar ceria di raut wajahmu. Kaulah sahabat yang memberikan aku secalit cahaya dan membimbing aku agar terus tabah di jalan yang berliku ini. Allah tidak menjanjikan suatu kehidupan yang indah tanpa onak dan duri. Ianya masih terus menguji aku. Menguji kesabaran dan ketabahan sebagai seorang hamba yang lemah.

Andainya alam ini mampu berkata-kata, pastinya pujian buat dirimu. Aku merasakan akulah yang bertuah kerana mempunyai sahabat sepertimu. Aku mengharapkan agar ikatan ukhuwah yang terbina atas dasar perjuangan di jalan Allah akan terus mekar selamanya. Ikatan ini tidak boleh dijual beli kerana harganya tidak ternilai. Hanya yang Maha Esa dapat menilai ikatan suci ini. Ya Allah, Kau berkatilah kurniaan yang Kau berikan padaku ini.

Sahabat, kau bimbinglah aku menuju cahaya Ilahi. Cahaya yang menjanjikan kebahagian di dunia mahupun di akhirat. Dunia merupakan ladang akhirat. Maka setiap apa yang dilakukan di dunia akan diambil kira dan dihitung untuk menentukan kedudukan kita di akhirat kelak. Jadi, kita haruslah melakukan apa sahaja dengan niat hanya kerana Allah SWT. Ujian ini kadang kala melemahkan imanku. Aku menjadi leka dan lalai dalam menjalani kehidupan sebagai hambaMu. Ampunkan aku ya Allah.

Sahabat, aku merasa lemah mengharungi ranjau dunia. Aku ingin menjadi sepertimu yang sentiasa dalam ketenangan menghadapi hidup ini. Aku kagum dengan sikapmu wahai sahabat. Aku bersyukur kerana ditakdirkan untuk mengenali dirimu. Aku juga mengharapkan agar kita akan terus bersama menghadapi segala suka dan duka. Semoga kejayaan milik kita agar hidup menuju mulia.

Hadirmu sahabat telah menyuntik selautan kekuatan di kala aku memerlukan sokongan dan bantuan. Di dalam kesulitan yang aku tempuhi engkau cuba untuk menunjukkan jalan. Jalan yang diberkati dan jalan yang menuju mardhatillah. Tiada lagi kata-kata untuk aku melafazkan atas segala yang kau lakukan untuk aku. Aku bersyukur dengan kurniaan yang tidak ternilai ini. Sekiranya aku aur, engkau adalah tebing. Itulah hakikat di mana kita saling memerlukan. Inilah persahabatan yang dianugerahkan oleh Allah untuk hamba yang inginkan kebahagiaan. 

No comments: