Mencari Mardhatillah 51



Kerani di Atfal Jannah. Itu adalah jawatan baru yang ditawarkan kepadaku untuk mula berkhidmat pada Januari 2014. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.(Al-Fatihah:2). Syukurku panjatkan ke hadrat Ilahi. Akhirnya penantianku bertemu kepada cahayanya. Sebelum ini aku sering tertanya-tanya adakah aku akan begini selamanya, menjadi penganggur dan hanya mengharapkan bantuan dari Kementerian Kebajikan Masyarakat?

Kali ini aku harus bertahan dan menjaga sebaik-baiknya amanah yang telah diamanahkan kepada aku. Aku juga tidak boleh memandang mudah dan mengabaikan tugas yang bakal diberikan nanti. Aku harus senantiasa berdoa kepada Allah SWT supaya memberkati tugasku yang baru ini kerana ini semua adalah rezeki dari Allah. Allah yang memberinya dan Allah juga punya hak untuk menarik kembali rezeki yang dianugerahkan ini.

مَّا يَفۡتَحِ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحۡمَةٖ فَلَا مُمۡسِكَ لَهَاۖ وَمَا يُمۡسِكۡ فَلَا مُرۡسِلَ لَهُۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٢
2. Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Apabila kita menginginkan kebahagiaan, maka kita harus menerima dengan redha bentuk penyusunan Allah. Penyusunan Allah kepadaku amatlah bermakna kerana penyusunan ini adalah tarbiyah Allah kepadaku. Allah ingin mendidik aku supaya aku belajar bersabar dengan ujian yang diberikan. Selain sabar, redha dan syukur juga sesuatu yang dapat diterapkan dari ujian istimewa ini. Alhamdulillah atas semua aturan dan perancangan Allah SWT.

No comments: