Mencari Mardhatillah 34



Perjalanan dan liku-liku yang kulalui semasa dewasaku amat memeritkan. Allah ingin menguji ketahanan aku. Penyakit yang tidak disukai oleh ramai orang, aku terpaksa hadapi. Di Malaysia secara umumnya masih ramai yang memandang serong dengan penyakit mental. Masyarakat menyisihkan para pesakit mental. Pesakit mental juga ada tahap-tahap tertentu. Kalau yang kritikal barulah diasingkan dan turut dirawat atau di tempatkan di hospital mental. Adakah semua pesakit mental sama? Adakah kami tidak layak bekerja dan berkhidmat dalam masyarakat? Memang penyakit ni ada yang serius dan ada yang tidak. Rawatan dan ubat diperlukan bagi menyembuhkan atau memulihkan pesakit mental.


Aku? Berada di tahap mana? Serius atau tidak? Pada aku, aku telah melalui kesemua fasa. Sekarang, setelah aku menjalani ECT, aku dapat rasakan perubahan. ECT adalah satu rawatan bukan ubat yang melibatkan caj elektrik diletakkan di otak. Satu kelemahan ECT atau “side-effect”nya adalah lupa. Pesakit yang menjalani ECT akan kehilangan sedikit ingatannya dan kata pakar, kehilangan ingatan itu bersifat sementara. Harapnya begitulah.


Hanya pada Allahlah aku sandarkan harapan untuk meneruskan kehidupan walaupun aku pernah merasakan amat penat untuk melalui perjalanan dan liku-liku yang memeritkan ini. Terbaru yang memeritkan adalah penerimaan bekas majikan aku yang juga berada dalam system tarbiyah yang telah memberhentikan aku. Aku tidak meminta diuji dengan penyakit ini. Semuanya ini adalah dari Allah. Kalau ikhwah dan akhawat sendiri enggan menggaji aku, tak apalah. Rezeki ada di mana-mana. Biarlah Allah yang menentukan.

No comments: