Mencari Mardhatillah 38

Jun 2013. Sudah setahun aku tidak mengemaskini blog kerana kali terakhir aku menulis di blog adalah pada Jun 2012. Entah kenapa hari ini terasa ingin menulis sesuatu di blog yang telah setahun aku tidak mengemaskininya. Sejujurnya, diantara sebab utama aku tidak menulis kerana mood aku tidak stabil dan ianya menyebabkan aku tidak mempunyai idea untuk menulis. 

Alhamdulillah hari ini, aku tergerak untuk menulis di hari keduaku untuk tahun ini aku kembali masuk ke wad di PPUKM. Aku merasakan perasaan aku hari ini berbeza dengan hari-hari sebelum ini sepanjang aku tidak mengemaskini blogku. Diriku menjadi berbeza kerana aku dapat fokus untuk membaca buku motivasi yang sangat memotivasikan. Buku yang terkenal di seluruh dunia iaitu La Tahzan (Jangan bersedih@Don't be sad) Membaca tajuknya sahaja di dalam buku itu sudah cukup menyentuh. Apatah lagi dengan membaca isinya. 

Aku mengharapkan agar mood aku hari ini berpanjangan. Aku harus positif. Tidak lagi pesimis dan menganggap bahawa ujian penyakit dari Allah hanyalah bebanan semata-mata. Ujian dari Allah adalah tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bukankah Allah menyebut di dalam surah Al-Quran bahawa Allah adalah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Maha Penyayang dan Maha Pengasih adalah 2 dari 99 nama Allah yang wajib kita imani dan fahami serta cuba untuk mempraktikkan dalam kehidupan seharian. 

Setiap apa yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman dengan semua rukun iman, kita tidak seharusnya terpedaya oleh bisikan-bisikan dari syaitan yang bertujuan untuk memesongkan akidah kita. Memang hati manusia senantiasa berbolak balik. Tetapi kita harus juga senantiasa beristighfar, bertaubat dan menyesali apa kekhilafan yang telah kita lakukan semasa kita lemah. 

Aku harus OPTIMIS untuk sembuh dan hidup seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW utusan terakhir yang menyampaikan kebenaran. Hidup di dunia adalah ladang hidup di akhirat yang pastinya kehidupan yang kekal abadi di sana. 

No comments: