Nak untung ke rugi?

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (103:1-3)

Isi-isi utama yang diterangkan dalam terjemahan:

SEMUA manusia berada di dalam kerugian apabila dia tidak mengisi masanya dengan perbuatan-perbuatan yang baik.

Walaupun surah ini pendek dan ringkas. Namun ianya mempunyai isi tersirat yang mendalam. Bukankah Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia? Begitu juga dengan surah yang pendek ini. Ada sesuatu yang ingin Allah sampaikan kepada kita.

Ramai yang mengetahui surah ini. Ramai yang menghafal surah ini. Ramai juga yang mengetahui terjemahan surah ini. Surah ini sering dibaca sebagai penutup sesuatu majlis. Tetapi, berapa ramaikah pula yang memahami, mendalami dan menjiwai erti atau maksud sebenar yang ingin Allah sampaikan melalui penurunan surah ini? Mari kita renungkan.

Terdapat pelbagai surah lain di dalam Al-Quran di mana permulaan ayatnya dimulakan dengan sumpah. Apabila Allah memulakan sesuatu surah dengan sumpah, ini bermakna Allah ingin menarik perhatian semua manusia. Pasti ada sesuatu yang penting yang hendak disampaikan selepas sumpah tersebut.

Allah telah bersumpah dengan masa. Ini menunjukkan bahawa, masa itu sangat penting di dalam kehidupan manusia seharian. Sekiranya masa yang kita ada ini tidak dimanfaatkan sebaiknya, kita akan berada di dalam kerugian.

Selain dari maksud demi masa, ”wal-asrs” juga bermaksud demi waktu asar. Apabila tiba waktu asar, kita tidak mempunyai banyak waktu lagi sebelum tibanya waktu maghrib dan seterusnya waktu isya’. Ini menunjukkan bahawa semua manusia juga sudah tidak punya banyak masa lagi di dalam kehidupan. Hanya sedikit sahaja masa yang kita ada untuk meneruskan kehidupan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Manusia iaitu al-insan dikenali dengan sifatnya yang lupa. Manusia perlu saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kadang-kadang kita tidak sedar akan peringatan-peringatan yang telah Allah ingatkan di dalam mukjizat terbesar kita yakni Al-Quran. Di dalam surah ini, Allah menekankan sesuatu yang amat penting dalam hidup manusia iaitu masa. Kita perlu saling ingat-mengingati dengan dengan masa yang telah berlalu dan masa yang bakal kita tempuhi.

Dengan masa yang telah berlalu, adakah cukup amalan kita dalam mencari keredhaan Allah? Adakah cukup dengan semua amalan yang telah kita lakukan? Adalah semua yang kita lakukan dalam mencari keredhaan Allah itu kita telah melakukannya sehabis baik? Adakah cukup untuk kita berhadapan dengan Allah di hari pembalasan kelak?

No comments: