Renungan bersama 15

Bermula penyatuan sesama ummat
adalah dengan melakukan
sesuatu kebaikan bersama.
Tempat penyatuan yang
paling baik adalah di masjid.

Jangan terlalu ghairah menabur amal
hingga keperluan diri diabaikan,
bila fitnah datang mengundang
maka runtuh segala kebaikan.

Amat rugi membuat pelaburan
di dunia andai keuntungannya
membajai nafsu ammarah dan
menjauhkan diri daripada Allah

Mencari Mardhatillah 20


Aku ingin menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Agar dapat kutunaikan rukun islam kelima sekaligus menjadi tetamu Allah di Baitullah. Ku pernah menjejaki ke Tanah Haram, tapi ketika itu aku belum sakit. Aku telahpun berada dalam tarbiyah ketika itu. Keadaan berbeza ketika itu dan sekarang. Aku begitu ingin merebut peluang ini. Mengunjungi Tanah Suci idaman setiap insan yang merinduikan Tuhannya. Yang mendambakan mardhatillah. Yang mencari-cari mardhatillah. Aku benar-benar berharap agar aku terpilih..... Ya Allah, terimalah aku. Aku rindu padaMu. Ingin ku jejaki sekali lagi ke tempat di mana Rasulullah berjuang.....

Perjalanan ku mencari mardhatillah kulalui dengan tenang. Aku dan keluarga akan berusaha supaya namaku terpilih. Usaha, Doa dan Tawakaltu 'Alallah. Allah suruh berusaha sehabis daya, berdoa dan seterusnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Dia tak akan menzalimi hambanya. Dengan kasih dan sayangNyalah aku masih berada di sini. Di jalan yang penuh ranjau dan duri. Akan kulaluinya sambil mengharapkan keredhaanMu Ya Allah.

Aku juga tak mau jadi orang yang rugi seperti dalam firman Allah:

والعصر, أنالأنسن لفي خسر, ألأألذينءامنوأوعملواألصلحت وتواصوابا لحق وتواصوابالصبر

Demi masa, Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali:
  1. orang-orang yang beriman
  2. orang-orang yang beramal soleh (mengerjakan kebajikan)
  3. Orang-orang yang nasihat-menasihati untuk kebenaran
  4. Orang-orang yang nasihat-menasihati dengan kesabaran.
Jom sama-sama kita jadi orang yang tak rugi dalam mengejar mardhatillah!

Motivasi Unggul 10

Allah SWT sangat menghargai Amal Baik Manusia

Abu Hurairah ra. mengemukakkan, Muhammad Rasulullah saw. bersabda, Allah Azza wa Jalla berfirman: "Apabila hambaku berkata akan berbuat kebajikan, Aku tulis baginya pahala satu kebajikan, sekalipun belum dilaksanakannya. Tetapi apabila dilaksanakannya Aku tulis untuknya pahala sepuluh kebajikan. Apabila dia berujar akan berbuat kejahatan, Aku ampuni dia sebelum dilaksanakan. Jika dilaksanakannya, Aku tulis untuknya balasan satu kejahatan"

Rasulullah saw. melanjutkan sabdanya, bahawa malaikat berkata: "Wahai Tuhan, inilah hambaMu. Dia bermaksud akan melakukan kejahatan (padahal Allah Maha Tahu)."

"Amatilah dia, " jawab Allah SWT. "Jika dilaksanakannya, tulislah baginya balasan yang setimpal. Namun jika tidak dilaksanakannya, tulislah baginya pahala satu kebajikan, kerana dia takut kepadaKu."

Selanjutnya Muhammad Rasulullah saw. bersabda: "Apabila keislaman kalian lebih meningkat, maka setiap kebajikan yang dilakukannya ditulis pahalanya sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda. Dan setiap dia melakukan kejahatan ditulis balasannya setimpal dengan kejahatannya itu sampai mati."

(HR Muslim)

Pengenalan Surah Al-Fatihah

Mengapa Al-Fatihah diletakkan nombor 1 walaupun Al-Fatihah bukanlah surah pertama yang diturunkan? Al-Fatihah bermaksud pembukaan. Ia adalah Ummul Quran atau induk Quran. Surah ini, walaupun diturunkan lambat, tetapi ianya tetap diletakkan di permulaan atau awal Al-Quran. (Begitu juga halnya yang berlaku kepada sultan, guru besar atau menteri, walaupun hadir paling lambat dalam sesuatu majlis, ia tetap di tempatkan di hadapan dewan dan bukannya di belakang) Begitu juga dengan Al-Fatihah. Tidak semestinya lambat diturunkan, patut letak di belakang…….

Semua ini ada rahsia yang tersendiri. Rahsia ini harus diterokai dengan mempelajari dan mengkaji pelbagai aspek di dalam Al-Quran. Contohnya:

  1. Selepas الحمد لله رب العلمين , mengapa diletakkan الرحمن الرحيم : sebenarnya Maha Pemurah lagi Maha Penyayang itu penting untuk menceritakan bagaimana Allah mendidik/mentadbir alam ini. Rahsia di situ: ramai manusia yang cuba mendidik. (Contohnya saya ada syarikat dan saya nak didik Ali jadi pegawai syarikat yang bagus agar lepas ini dapat Ali bekerja dengan lebih produktif dan akhirnya akan dapat keuntungan. Ini adalah didikan di peringkat manusia.) Tapi di peringkat Allah SWT: Allah mendidik, Allah menguasai alam ini bukan untuk dapatkan ganjaran, Allah buat itu kerana الرحمن & الرحيم . Allah takkan ambil apa-apa pun dari kita (manusia). Allah tadbir elok-elok alam ini kerana kasih dan sayang Allah, bukannya sebab mengharapkan ganjaran sebagaimana saya mendidik Ali tadi.
  2. Ada seseorang yang memelihara ayam, dia memberi makan dan menjaganya sebaik mungkin. Apa yang dilakukan adalah bukan atas dorongan kasih sayang atau pemurahnya pemelihara ayam tadi tetapi kerana ganjaran disebalik penjagaannya seperti ayamnya lebih banyak membiak lalu dapat dijual dan akhirnya keuntungan akan diperolehinya.

Mencari Mardhatillah 19

Alhamdulillah. Kini, aku kembali semula ke rumah setelah beberapa hari bermusafir ke Shah Alam menjenguk nendaku serta menghadiri kenduri di sana. Entah kenapa hari terakhirku di Shah Alam dan disambung dengan hari-hari seterusnya di rumah, aku merasa sedih. Bila sedih, aku luahkan pada akhawat yang tak jemu-jemu membantu dan menasihatiku. Apapun yang aku lakukan, aku harus kembali kepada Allah dalam menggapai redha Allah.

Hari ni dan semalam aku sedikit pulih. Ubat aku makan seperti biasa. Tapi, pengharapanku kuserahkan sepenuhnya pada Allah. Dr Mazwin mencadangkan untuk aku ke hospital ahad ni. Akan kufikirkan dulu...... Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Dia merancang yang terbaik untukku.

Ahad lepas, ketika di PKNS Shah Alam, adindaku Man dapat cenderahati dari Rabbani iaitu album terbaru mereka - Mahababah setelah sama-sama menyanyikan Intifadah. Mereka ada menyanyikan lagu lama yang dinyanyikan semula - Tanpa Agama. Tersentuh dengan bait-bait lagu itu antaranya:

Tanpa agama manusia binasa
Tanpa ilmu manusia buta
Tanpa iman manusia sengsara
Tanpa ukhuwah manusia terseksa

Ada agama datangnya pelita
Ada ilmu datangnya harta
Ada harta datangnya derma
Ada ukhuwah datangnya saudara

Setiap bait di atas penuh erti yang tersendiri. Ada yang tersurat dan ada yang tersirat. Terpulang kepada pendengar. Tapi, bagiku, ianya amat menyentuh naluriku. Manusia memerlukan agama, ilmu, iman dan ukhuwah. Yang menyayat hatiku kini adalah ukhuwah. Aku perlukan ukhuwahfillah dalam menempuhi hidupku. Kukira, tanpa ukhuwah, aku takkan berada di tahap ini sekarang. Kerana ukhuwah akhawat, aku mendapat tarbiyah. Tanpa tarbiyah, aku mungkin tak kenal Islam seperti yang sepatutnya. Aku pasti jahil. Amalanku belum tentu diterima Allah. Ya Allah, Kau terimalah aku sebagai hambamu. Aku ingin menjadi kekasihmu. Kau terimalah aku untuk menjadi tetamuMu pada tahun ini Ya Allah.......

Renungan bersama 14

Didiklah nafsu dengan perbanyakan berpuasa.
Perbanyakan berzikir, bertasbih, solat dan
menghayati Al-Quran semasa berpuasa itu.

Bermula niat dengan berfikir.
Datangnya fikiran melalui renungan.
Datangnya renungan dari muhasabah diri
hasil dari pembacaan dan ceramah kesedaran.

Tidak selamat bagi ummat yang hidup di atas muka bumi
tanpa berbuat kebaikan dan takut mencegah kemungkaran,
maka bala akan datang bertimpa-timpa.