Renungan bersama 13

Matlamat hidup adalah suatu usaha
yang jitu berpandukan Al-Quran dan
As-Sunnah bagi mengembalikan
martabat agama yang bertunjangkan
keimanan kepada Allah.

Hidup perlu ada padanya niat,
maksud, berfikir dan matlamat.
Bermulanya niat dengan jiwa
yang tenang. Ketenangan datangnya
dari hati yang suci dan kasih

Maksud kehidupan bermulanya
usaha terhadap keruntuhan ummah.
Maka kita perlu berfikir dan
menyerlahkannya dengan usaha
gigih dan mengharap pertolongan Allah.

Motivasi Unggul 8

1. Muhammad Rasulullah SAW bersabda: "Bertaqwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, niscaya perbuatan baik itu akan menghapuskan perbuatan yang buruk tersebut. Dan berakhlaklah yang baik terhadap sesama manusia." (HR Thabrani)

2. Rasulullah SAW bersabda: "Dengan budi pekerti yang baik, manusia dapat mencapai martabat tinggi dan kedudukan mulia di akhirat, sekalipun ibadahnya lemah. Dengan perangai buruk, orang akan ditempatkan kedudukan paling bawah di dalam neraka jahanam." (HR Thabrani)

3. Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang muslim yang biasa-biasa saja dalam beribadah, namun memiliki budi pekerti yang baik dan terpuji akan dapat mencapai darjat setaraf dengan orang-orang yang banyak solat, puasa dan membaca Al-Quran." (HR Ahmad bin Hambal)

4. Ibnu Umar ra. mengungkapkan, Rasululullah SAW bersabda: " Carilah oleh kalian darjat yang tinggi di sisi Allah, yakni dengan cara: 1. bersikap penyantun terhadap orang yang tidak mengetahui tentang dirimu; 2. memberi kepada orang yang tidak pernah memberi kepadamu." (HR 'Addi)

Mencari Mardhatillah 17

Aku kini dalam perjalanan dari Arau ke Klang menaiki keratapi bersama papa dan mama. Semalam, aku berjumpa dengan Dr Salwa. Lega rasanya. Tapi yang tak bestnya, Dr Salwa menambah lagi satu AD – Dothiepin Hcl sebanyak 50mg. Banyak tu. Dr kata ubat baru ni bertindak pada reseptor lain. Dr Salwa juga menyuruh aku melakukan aktiviti dalam MoodGym. Lepas buat questionnaire tu, print result dan bawa jumpa Dr Salwa minggu depan. Appoinment selang seminggu sebab Dr Salwa nak tengok kesan ubat baru tu pada aku.

Selain tu aku juga request nak buat ECT atas sebab aku nak lupakan peristiwa aku diberhentikan dari Vads. Buat ECT….sure ke Allah akan delete memory tu?? ECT sebelum ni pun Allah delete certain memory je…tapi aku boleh doa kan?? Impact yang besar juga pada aku tentang diberhentikan ni. Pengalaman pertama aku. Baru berkhidmat baru 4 hari. Sedihnya Allah sahaja yang tahu. Aku hanya mampu pasrah dan berdoa pada Allah. Allah masih mahu mengujiku. Mungkin juga tempat tu tak sesuai dengan aku walaupun aku benar-benar suka akan kerja ni malah telah memasang cita-cita untuk tidak terus berada di tahap CSR. Tapi semua ni perancangan Allah. Allah adalah sebaik-baik perancang. DIA merancang yang terbaik buatku. Dia Maha mengetahui. Dia Maha penyayang. Takkan dia akan rancang dan lakukan sesuatu yang buruk untukku. Itu adalah mustahil!

Nampaknya aku dah boleh terima hakikat aku dah tidak lagi bekerja dengan Vads di Komtar. Mungkin sesuatu yang kita suka tu Allah benci dan mungkin sesuatu yang Allah benci tetapi sebenarnya baik untuk kita. Allah juga menguji hambanya sesuai dengan keupayaan seseorang hambanya. Ya ALLAH, ampunkan aku kerana sebelum ini aku tidak bersyukur dan redha akan takdirmu. Ini merupakan Qada’ dan Qadar dariMU. Ini juga merupakan keimanan kita kepada rukun Iman yang keenam.

Renungan bersama 12

Ilmu keINSANan itu diperolehi apabila segala ujian,
gangguan, godaan dan tentangan hidup itu
dilalui dengan penuh ketaqwaan dan keredhaan

Jangan berdukacita dengan apa dengan apa yang tidak diperolehi
tetapi teruskan bersyukur dengan apa yang telah
dianugerahkan dan diberikan (nikmat)

Bermula niat dengan fikir
Datangnya fikir melalui renungan
Datangnya renungan dari muhasabah diri
dengan syarah yang didengar atau dibaca

Destinasi Cinta

Menyingkap tirai hati mengintai keampunan

Di halaman subur rahmatmu tuhan

Tiap jejak nan bertapak debu kejahilan

Akan ku jirus dengan madu keimanan


Tak ternilai airmata dengan permata

Yang bisa memadamkan api neraka

Andai benar mengalir dari nasuha nurani

Takkan berpaling pada palsu duniawi


Destinasi cinta yang kucari sebenarnya terlalu hampir

Hanya kabur kerana dosa di dalam hati

Telah ku redah daerah cinta yang lahir dari wajah yang alpa

Tiada tenang kutemui hanya kecewa menyelubungi


Ku gelintar segenap maya

Dambakan sebutir hakikat

Untuk ku semai menjadi sepohon makrifah,

Moga dapat ku berteduh di rendang kasihmu


Destinasi cinta yang kucari sebenarnya terlalu hampir

Hanya kabur kerana dosa di dalam hati

Ku gelintar segenap maya dambakan sebutir hakikat

Untuk ku semai menjadi sepohon makrifah

Moga dapat ku berteduh di rendang kasihmu


Namun ranjaunya tidak akan sunyi

Selagi denyut nadi belum berhenti

Durjana syaitan kan cuba menodai

Segumpal darah bernama hati

Destinasi cinta ilahi


Lestarikan wadi kalbuku oh Tuhanku

Leraikan aku dari pautan nafsu

Biarpun sukar bagiku melamar redhaMu

Namun kasihku mengharap keampunanMU

Wahai tuhanku Ya Allah.

Mencari Mardhatillah 16

Kelmarin, satu lagi memori hitam berlaku dalam hidupku. Aku diberhentikan dari Vads, anak syarikat TM. Ini adalah kerana aku pesakit Bipolar Mood Disorder. Terasa sangat berat ujian yang Allah berikan padaku. Tidak ada ruangkah untuk pesakit mental seperti aku untuk berada dalam masyarakat? Kenapa pesakit mental sering disalah ertikan serta sering dilayan sebegini? Bagaimana pesakit seperti aku hendak pulih kalau tidak diberi ruang dan peluang? Aku hanya pengidap Bipolar….bukannya gila ataupun skezofrenia. Sewaktu aku jumpa doctor di hospital kelmarin, dia kata kalau pesakit Bipolar, tak perlu declare pada majikan yang kita ni ada penyakit Bipolar. Silap aku kerana dah bagitau pada majikan hari kedua bekerja bahawa aku adalah pesakit Bipolar Mood Disorder.

Satu tamparan hebat buatku. Aku hanya mampu menangis. Aku meluahkan pada Basmin, Makcik Su dan Makcik Norsham. Ketika itu memang aku sangat depress. Aku mendapat kata-kata peransang dari mereka. Ini semua ujian dari Allah. Aku merasakan ketika itu, pesakit macam aku tak ada ruang lagi untuk maju. Aku ingin bangkit semula setelah berehat hampir setahun. Dan bila aku dapat tawaran ni, aku sangat gembira kerana ia merupakan impian aku sejak aku kembali pulih. Tetapi, kegembiraan aku hanyalah sementara. Tak sampai seminggu pun aku bekerja.

Adakah ini nasib pesakit seperti aku? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia yang mengaturkan semua ini. Dengan kehendakNyalah berlakunya semua ini. Ini juga merupakan tarbiyah dari Allah. Untuk menjadikan aku lebih kuat dan tabah. Untuk mendidik aku agar menerima segala Qada’ dan Qadar dari Allah. Bukankah beriman dengan Qada’ dan Qadar adalah wajib buat semua mukmin? Maka, aku harus terima bahawa ini adalah sebahagian dari Qada’ dan Qadar Allah.

Sebaik sahaja berhenti dari Vads, aku terus pulang ke bilik sewa dan terus mengemas semua barang-barang untuk bersedia pulang ke Jitra. Memandangkan aku sudah tidak diberi peluang lagi, maka apa yang terbaik ketika itu adalah balik ke pangkuan papa dan mama……merekalah selama ini yang memberi kekuatan dan semangat padaku. Inilah liku-liku yang harus aku lalui untuk menggapai redha Allah.....

Aku takkan berdiam diri. Kata makcik Su, kalau di UK tindakan Vads boleh disaman kerana ia merupakan diskriminasi. Mereka langsung tidak memberi peluang buat aku. Aku cuba jugak mohon agar diberi ruang dan satu lagi peluang, tapi oleh kerana aku “sakit”, maka mereka tak boleh bagi peluang. Mereka takut rugi. Rugi membayar gaji aku dan takut aku tak mampu lakukannya. Makcik Su juga bagitau aku boleh buat aduan di Jabatan Tenaga Rakyat. Selain itu aku juga akan menulis pada media apa yang telah mereka perlakukan padaku. Aku bukanlah berniat untuk mendapatkan balik jawatan itu tetapi aku nak mereka tidak lagi memandang rendah dengan pesakit mental seperti aku.

Renungan bersama 11

Sesungguhnya ilmu itu datang dari langit,
pengetahuan datangnya dari pembacaan dan kuliah,
ilham pula dari pengamatan, renungan dan pengalaman

Jangan disesali dengan pengalaman pahit
di dalam kehidupan kerana ia adalah satu ilmu,
wadah dan panduan di dalam perjalanan
untuk mendapat keredhaan Allah SWT.