Mencari Mardhatillah 48


Ya Allah, aku hambamu yang lemah dan aku juga sedang kekeliruan. Keliru adakah jalan yang ku lalui ini sedang menuju kepadaMu. Adakah aku berada di jalan yang benar?? Ah!  Agak payah dan sukar untuk aku mencari jalan yang benar kerana sering dipaut hasutan dunia. Kadang kala aku mencintai yang lain lebih dari mencintaiMu ya Allah. Ampunkan aku. Kau Maha Pengampun. Kau juga Maha Penyayang. Dengan rahmat dan kasih sayangMu, aku masih berada di bumiMu ini. Kau kuatkanlah aku untuk terus mendapat redhamu. Redhamu penting untuk kebahagian dan ketenangan aku.

Ya Allah, hidayahmu pernah hadir sehingga aku berjaya mengislahkan diri dan berada dalam bi’ah solehah. Hidayahmu juga hadir sehingga kering airmataku menitis. Namun terkadang aku berpaling kerana mengejar nikmat dunia yang sementara. Kadang kala dunia melekakan dan memperdaya diri ini. Namun, aku masih punya seorang sahabat yang masih ingin melihat sahabatnya untuk berada dalam jalan yang benar. Aku berasa sangat beruntung mempunyai sahabat yang begitu sabar dan beliau adalah orang yang sangat tenang menangani aku. Syukurku panjatkan pada Ilahi kerana menganugerahkan harta yang tidak ternilai ini. Alhamdulillah.

Ya Allah, hari ini kubimbangi jika terakhir hidupku ini, adakah masih ada lagi subuh esok untukku bernafas dan sujud mengabdi padaMu?? Pernah kadang kala aku menginginkan agar hidupku yang kurasakan begitu sukar sekali ini berakhir. Tetapi, adakah aku benar-benar bersedia? Adakah timbangan amalku akan menjamin aku selamat dan menikmati syurga yang dijanjikan? Adakah hanya dengan ujian yang tak seberapa ini jika dibandingkan ujian mereka yang terdahulu ini aku sudah berputus asa? Semua jawapan dari persoalan yang aku bangkitkan ini berada di bahuku sendiri. Hanya aku yang tahu apa langkah yang harus diambil bagi meraih redha Allah yang Maha Esa.

Ya Allah, berikanlah aku kesempatan bagi menebus kesalahan lantaran dosa, noda dan sengaja melupakanMu. Aku mengharapkan agar Kau menghadirkan damai sebelum di hujung nafasku. Oh Tuhan berikan daku petunjukmu untuk ku meniti ke jalan redhamu. Izinkan daku mengulangi janji-janji yang baru. Taubat nasuha setulus untukmu oh Tuhan

Motivasi Unggul 21

At-Tabrani meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Semua orang yang mati syahid akan dikumpulkan untuk dihisab. Kemudian dikumpulkan pula orang yang suka bersedekah untuk dihisab. Kemudian dikumpulkan orang yang ditimpa bala atau orang mukmin yang menerima bala. Bagi mereka itu tiada timbangan amal atau hisab. Malah Allah akan melimpahkan pahala sebanyak-  banyaknya untuk mereka. Sehinggakan orang yang sihat dan tidak menderita terasa kalau badan mereka  dipotong, mereka akan rela sebab melihat betapa besarnya pahala yang Allah berikan kepada orang yang  menanggung bala itu."

                            _______________________________________________

Betapa Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Penyakit adalah ladang amal.......

Ampunkan aku ya Allah sekiranya kadangkala aku berputus asa dengan ujian ini.

Mencari Mardhatillah 47

Apa lagi yang terjadi kepada diri ini sebenarnya? Berapa lama lagikah aku akan sampai kepada nur (cahaya) yang dijanjikan? Adakah aku sudah tenggelam di dasar sehingga tidak nampak lagi cahaya di atas? 

Semua jawapan bagi persoalan di atas hanya Allah yang Maha Mengetahui. Aku hanya manusia ciptaanNya. Dr Tuti dan Dr Nurul Ain juga hanya hamba Allah yang dikirim untuk membantu aku.

Andaikan diri ini boleh menjadi seperti hamba-hamba yang disayangi Penciptanya? Alangkah beruntungnya jika ia benar-benar terjadi. Aku hanya seorang hamba yang lemah. TanpaMu aku lelah dan tidak berdaya.  Hanya Kau yang mampu menolong aku keluar dan mendapat nur yang dijanjikan? Saat aku "terpilih" untuk berada dalam sistem tarbiyyah yang begitu memikat diriku satu ketika dahulu, aku berasa sangat bersyukur kerana berada dalam satu sistem yang tersusun. Semakin lama aku bersama dalam ikatan ukhuwah yang tidak pernah aku temui aku tenang dan berlakunya pengislahan pada diriku.

Namun, ketika aku begitu aktif dengan semua jenis program tarbiyyah, aku diuji. Malah ketika itu aku berkhidmat dengan jamaah yang menyusun sistem tarbiyyah yang telah mengubah aku sedikit demi sedikit. Tetapi tazkeerah dari Dr Nurul Ain dan Dr Tuti petang tadi cukup memberi kesan padaku. Ini adalah satu perjalanan untuk aku. Perjalanan untuk menjadikan aku lebih sabar dan tabah. Beradanya aku di wad PPUKM sekarang sebenarnya kerana aku tidak cukup sabar dan tabah semalam. Sedikit suntikan semangat dari doktor-doktor yang merawat aku.

Aku seperti ingin mengikut nendaku yang mangkat 3 hari yang lalu. Namun cukupkah bekalan aku untuk dihakimi di padang masyar nanti? Aku sebenarnya masih perlu mencari bekalan-bekalan sebagai jaminan untuk layak berada di syurga. Syurga merupakan tempat istimewa untuk hamba-hambaNya yang beriman. Semua hamba-hamba yang mempunyai timbangan amal kebaikan dan kebajikan akan menempah tiket ke syurga yang dibawahnya ada sungai-sungai yang mengalir.

Mujahadahlah. Aku harus memperbanyakkan muhasabah dan mujahadah. Macam mana nak mujahadah? Aku perlu tahu teknik dan langkah-langkah untuk mujahadah. Ya Allah, hanya kepada Engkaulah aku menyembah dan hanya kepada Engkaulah aku mohon pertolongan. Engkau mampu mengubah dan menjadikan aku seseorang yang kuat untuk meneruskan perjalanan menuju syurgaMu. Tidak Engkau jadikan sesuatu itu sia-sia. Itu janjiMu. Kau yang lebih tahu.

Mencari Mardhatillah 46



Penat. Inilah perkataan negative yang sering hadir dalam pemikiranku. Layakkah aku untuk penat dan berputus asa? Bukankah kita adalah hamba? Kita sepatutnya harus bersyukur dengan nikmat kehidupan yang dikurniakan Allah kepada kita.

Malam ini aku penat kerana tidak dapat tidur. Pihak doctor PSY HSB sudah tidak mahu memberikan Stilnox lagi kepadaku kerana aku sering mengambil Stilnox secara berlebihan. Tetapi kali ini datang pula dalam fikiranku untuk mengambil Zydis dan Cymbalta kesemuanya untuk membolehkan aku tidur dan tidak lagi memikirkan pelbagai masalah. Oleh kerana aku menjaga kedua anak saudaraku, aku membatalkan niatku kerana aku telah diamanahkan untuk menjaga mereka.

7 tahun aku harus lalui kehidupan yang sangat mencabar. Mencabar buat aku. Mungkin tidak bagi orang lain. Ketika lemah, aku sering pesimis memandang kehidupan. Aku bersyukur kerana mempunyai Puan Azlina, Dr Tuti dan Dr Syakeer. Merekalah yang membantu aku memberi semangat untuk aku teruskan kehidupan.

Ya Allah, Kau berilah aku jalan yang mudah untuk aku teruskan perjalanan hidup ini. Dalam mencari redhaMu, pelbagai rintangan dan cabaran yang harus aku lalui. Tapi aku sedar bahawa tidak semua orang akan diuji untuk melalui perkara yang sama. Aku kini cuba sedaya upaya untuk optimis dan terus berusaha untuk sembuh. Semuanya yang berlaku atas kehendakMu. Aku redha. Cuma kadang-kadang datang bisikan syaitan untuk memesongkan pemikiranku.

Motivasi Unggul 20

Ali-Imran: 159
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Maryam: 96
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang

Mencari Mardhatillah 45


Dr Aidh Al-Qarni berpesan dalam bukunya Jangan Bersedih: “Di sebalik kesusahan, pasti datang kemudahan. Ketahuilah bahawa sesusah rasa lapar berakhir pasti akan ada rasa kenyang. Selepas menjalani rasa haus dan dahaga pasti ada rasa kepuasan. Setelah mengalami kesusahan tidur pasti datang masanya tidur nenyak. Sesudah mengalami masa sakit yang berpanjangan pasti akan mengalami sembuh”

Kata-kata hikmah Dr Aidh di atas semuanya terasa untukku terutamanya di bulan menahan lapar dan dahaga serta menahan hawa nafsu. Dalam bulan Ramadhan yang sangat mulia ini ujian kesedihan dan kemurungan tidak ada. Tetapi ujian yang aku harus lalui ialah kesan sampingan ubat baru yang aku ambil atas arahan Dr Tuti. Tanganku menggigil dan aku kerap membuang air kecil.

Dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang seringkali aku ulang dalam blog mengatakan: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Jadi yakinlah dengan janji Allah. Banyak lagi janji Allah di dalam Al-Quran yang perlu kita baca, faham dan tadabbur. Rukun Iman dapat dilaksananakan dengan baik apabila kita memahami Al-Quran dan Sunnah.

Kesembuhan pula dapat aku rasakan sekarang walaupun mungkin tidak sepenuhnya. Mungkin juga ini semua berkat kesabaran aku untuk terus berusaha, berdoa dan bertawakal. Tugas kita memang untuk berusaha, berdoa dan bertawakal. Dan yang layak menilai usaha dan kesabaran serta yang layak memenuhi keperluan kita adalah Allah SWT. Tetapi apabila sembuh jangan pula lupakan usaha, doa dan tawakal. Kita harus konsisten sepanjang masa dan bersyukur dengan apa yang Allah anugerahkan.


Mencari Mardhatillah 44


Aku baru pulang dari berjumpa dengan Dr Syakeer setelah semalam aku dirawat di Unit Kecemasan Hospital Jitra. Ini adalah kerana aku pening, sakit kepala dan tanganku menggigil. Semasa di kecemasan, aku diberi ponstan dan dimasukkan air serta darahku diambil. Setelah air habis dan keputusan darahku keluar, aku dibenarkan pulang walaupun tanganku masih menggigil.

Hari ini, walaupun sudah pergi ke Klinik Psikiatri HSB, tanganku masih menggigil. Dr Syakeer memutuskan untuk mengurangkan dos pengambilan Lithium pada waktu malam dari 600mg kepada 300mg. Keputusan ini dibuat setelah berbincang dengan pakar. Tetapi, aku ragu kerana yang seharusnya memutuskan dos ubat-ubatan aku adalah Dr Tuti. Aku cuba hubunginya tapi gagal.

Mungkin tremor tanganku ini bersifat sementara. Seperti yang Dr Syakeer terangkan, mungkin di bulan Ramadhan ni badan aku kekurangan air kerana berpuasa. Menurut maklumat tentang pengambilan lithium, perlu banyak minum air untuk mengelakkan dari badan kekurangan air.

Ya Allah, Kau sembuhkanlah aku. Kau cukupkanlah apa yang tidak cukup terutamanya air di dalam badanku. Engkau boleh melakukan apa sahaja. Dalam surah Yasin ayat 82 yang bermaksud: “Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya: Jadilah! Maka jadilah sesuatu itu.”