Mencari Mardhatillah 43


Aku akan terus memohon pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Bulan ramadhan adalah bulan pesta ibadah terutamanya solat. Solat yang tak dikerjakan pada bulan lain kecuali Ramadhan adalah solat Terawih. Walaupun hampir setiap hari sakit kepala aku kuatkan diri ke masjid bersama mama. Masa tak larat ke masjid aku akan solat seorang diri di rumah, walaupun tak dapat pahala berjamaah. Sekurang-kurangnya kita tetap laksanakan walaupun sakit.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar. “(Al-Baqarah:153)

Menurut Tafsir Ibnu Kasir mengenai tafsir ayat ini:
“Dalam ayat ini Allah memerintahkan umat manusia untuk selalu meminta pertolongan kepada Allah dengan cara bersabar dan menunaikan solat secara khusyuk. Sabar terbahagi kepada 2, iaitu sabar ketika mendapat ketenangan dan sabar ketika mendapat kesusahan. Ketika menghadapi permasalahan, hendaklah kita mengembalikan semua urusan kepada Allah kerana Dialah Zat yang menentukan semuanya. Sabar mengandungi 3 hal:

  1.  Sabar untuk meninggalkan sesuatu yang haram,
  2.  Sabar dalam menunaikan ibadah dan kewajipan,
  3.  Sabar dalam menerima musibah dari Allah.
Semua musibah merupakan kehendak Allah, telah disebutkan pula bahawa di sebalik musibah yang menimpa pasti terdapat hikmah yang sangat agung.”

Setelah mentadabbur ayat ini haruslah aku jadikan motivasi untuk mohon pertolongan dengan sabar dan solat. Bagi sesetengah orang solat itu sendiri memerlukan kesabaran. Ada pula yang tidak sabar, lalu tidak solat. Aku sendiri nampak perkara ini semasa di wad PPUKM bulan lepas. Aku bersimpati padanya. Aku hanya mampu berdoa supaya Allah membukakan pintu hati untuk solat 5 waktu.

Mencari Mardhatillah 42


Lama sungguh aku harus menanti untuk berjumpa dengan pegawai perubatan di hospital. Temujanjinya pukul 9 pagi tetapi berjumpa dengan Dr Syakeer hampir pukul 11 pagi. Selepas itu, aku dapat khabar kurang baik dari Dr Syakeer iaitu, darahku yang diambil pada 7 Julai minggu lepas telah hilang. Argh! Padahal aku semangat datang hospital 8 30 pagi untuk dapatkan keputusan darah untuk dibawa berjumpa dengan Dr Tuti minggu depan. Keputusannya, esok aku harus kembali ke hospital untuk ambil darah baru. Ingatlah bahawa tak semestinya apa yang kita inginkan dan rancangkan pasti terjadi. Ini semua telah diatur oleh Allah.

Dr Syakeer nampak bahawa terdapat perubahan pada diriku berbanding mula-mula berjumpa dengannnya dulu. Aku berbeza dengan aku yang dulu. Dulu aku banyak sedih, murung dan selalu fikir nak overdose ubat. Pesanan Dr Syakeer masih aku ingat: kalau nak buat sesuatu, terutamanya kalau nak overdose, fikirkannya dua kali (think twise).Aku cuba aplikasikannya. Alhamdulillah kerana ini adalah kerana Innallahama’ana (Allah senantiasa bersama kita).

Perubahan aku ini juga hasil dari kemasukanku ke wad psikiatrik PPUKM dan aku ditanggani dengan betul oleh pakar (Dr Tuti), pegawai perubatan (Dr Sharutha) dan semua staf di wad. Keberadaan aku di sana hampir sebulan tidak terasa terlalu lama. Masa dirasakan begitu cepat berlalu  walaupun di penghujungnya terasa ramai pesakit dan sedikit rimas. Tetapi berkat kemasukan aku bulan lepas di PPUKM menjadikan aku lebih sihat dan pulih. Adakah kerana diagnosis baruku ini yang sebenarnya dan pertukaran serta penambahan ubat? Hanya Allah yang Maha Mengetahui….

Mencari Mardhatillah 41

Ubat. Aku harus makan beberapa jenis ubat. Sebelum ini aku hanya makan anti depression dan anti psychotic, tetapi dengan kemasukan aku ke PPUKM bulan lepas Dr Tuti telah menambah mood stabilizer untuk aku. Menurut Wikipedia.orgLithium is the "classic" mood stabilizer, the first to be approved by the US FDA, and still popular in treatment.” Ubat baru ini memerlukan pemeriksaan level darah setiap 3 bulan. Ini kerana bagi memastikan levelnya tidak kurang dan tidak lebih. Sekiranya kurang, ia tidak berkesan dan sekiranya lebih ia akan menjadi toxic dalam darah dan membahayakan diri aku.

Ubat merupakan satu usaha aku untuk sihat seperti dulu. Sekiranya aku tidak mengambil ubat mungkin keadaan aku lebih teruk. Ini berdasarkan maklumat pakar psikologi dan pakar psikiatrik yang merawat aku. Aku juga memperolehi pelbagai maklumat menerusi internet. Penyakit mental memerlukan ubat untuk menstabilkan bahan kimia yang tidak stabil di dalam otak.

Namun ubat sahaja tidak mencukupi bagi membantu aku untuk sembuh. Ia memerlukan gabungan antara ubat, psikoterapi dan doa kepada Allah SWT. Psikoterapi tidak ada banyak beza dengan sesi kaunseling. Cuma psikoterapi lebih spesifik kepada mengajar pesakit mental cara untuk berfikir dengan betul.

Doa merupakan senjata bagi mukmin. Amat rugi sekiranya kita tidak menggunakan senjata yang diberi pada kita. Sejak sakit, aku tidak putus-putus berdoa agar ujian yang Allah berikan ini berakhir. Tetapi adalah hak Allah sebagai pencipta kita bilakah waktunya yang tepat untuk mengakhirkan ujian aku ini.


Mencari Mardhatillah 40

Sesuatu yang terjadi pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan diagnosis baruku iaitu Treatment Resistant Depression (TRD).  Dari namanya agak menyedihkan. Itulah yang dinyatakan oleh Dr Tuti. Tetapi, bagiku ianya harus aku jadikan cabaran untuk aku terus berjuang melawan penyakitku ini. Allah tidak mentakdirkan sesuatu itu sia-sia. Ranjau yang Allah SWT takdirkan tidak akan terhenti selagi nadi berdenyut.

Walau apapun diagnosis penyakitku, Allah tidak akan meninggalkan aku keseorangan. Dengan kembalinya Dr Tuti ke Malaysia setelah beberapa tahun di Australia bagi menyambung pelajaran di peringkat Phd, aku amat berasa beruntung. Dr Tuti merupakan doktor pakar pertama yang merawat aku pada 2006-2008. Kini, 2013 dia kembali menanggani kes aku. Dia membuat beberapa pertukaran dan penambahan ubat setelah diagnosisku bertukar. Semoga Allah  memberkati usaha yang beliau jalankan bagi membantu aku.

Aku tidak akan mengalah dalam melakukan sesuatu untuk penyembuhan aku walaupun sudah hampir 8 tahun aku dirawat di Jabatan Psikiatrik di beberapa buah hospital. Aku sebenarnya lebih selesa dengan rawatan di PPUKM kerana pakar dan pegawai perubatannya mesra dan bersungguh-sungguh dalam membantu memulihkan pesakit mental. Ini adalah berdasarkan pengalaman aku yang pernah ditanggani oleh beberapa buah hospital lain.


Aku mengharapkan agar usahaku yang tak pernah henti sejak disahkan sebagai pesakit mental ini diberkati oleh Allah SWT. Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya kerana kita adalah ciptaanNya. Maka dengan itu aku tidak harus berputus asa dan menyerah dalam berusaha mengubati penyakit yang dipandang serong oleh sesetengah masyarakat.

Mencari Mardhatillah 39

Sangat tersentuh apabila menonton Bicara Selebriti dimana moderatornya saudara Amin Idris menyanyikan lagu Aku Cinta Allah (Wali Band-Indonesia). Ianya mengusik jiwa dan perasaan dan terasa ingin berkongsikan liriknya bersama supaya dapat sama-sama menghayati setiap dari lirik tersebut. Kalau didengarkan sekali melodinya pastinya lebih menyentuh malah mungkin boleh mengalirkan air mata.


Andaikan…diriku bisa seperti yang lain..
Yang Kau sayang..
Yang Kau rindukan..
Yang Kau cintai..

Aku lemah.. TanpaMu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku..Tolongku.. Ya Allah..
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi

Aku sayang Allah..
Aku rindu Allah..
Aku cinta Allah..


Hanya pada Allahlah tempat kita sandarkan segala sesuatu. Ingatlah bahawa rezeki bukannya di tangan manusia tetapi di tangan Allah. Ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz. La Ilaha Illallah. Tiada Tuhan yang layak di sembah melainkan ALLAH!

Mencari Mardhatillah 38

Jun 2013. Sudah setahun aku tidak mengemaskini blog kerana kali terakhir aku menulis di blog adalah pada Jun 2012. Entah kenapa hari ini terasa ingin menulis sesuatu di blog yang telah setahun aku tidak mengemaskininya. Sejujurnya, diantara sebab utama aku tidak menulis kerana mood aku tidak stabil dan ianya menyebabkan aku tidak mempunyai idea untuk menulis. 

Alhamdulillah hari ini, aku tergerak untuk menulis di hari keduaku untuk tahun ini aku kembali masuk ke wad di PPUKM. Aku merasakan perasaan aku hari ini berbeza dengan hari-hari sebelum ini sepanjang aku tidak mengemaskini blogku. Diriku menjadi berbeza kerana aku dapat fokus untuk membaca buku motivasi yang sangat memotivasikan. Buku yang terkenal di seluruh dunia iaitu La Tahzan (Jangan bersedih@Don't be sad) Membaca tajuknya sahaja di dalam buku itu sudah cukup menyentuh. Apatah lagi dengan membaca isinya. 

Aku mengharapkan agar mood aku hari ini berpanjangan. Aku harus positif. Tidak lagi pesimis dan menganggap bahawa ujian penyakit dari Allah hanyalah bebanan semata-mata. Ujian dari Allah adalah tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bukankah Allah menyebut di dalam surah Al-Quran bahawa Allah adalah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Maha Penyayang dan Maha Pengasih adalah 2 dari 99 nama Allah yang wajib kita imani dan fahami serta cuba untuk mempraktikkan dalam kehidupan seharian. 

Setiap apa yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman dengan semua rukun iman, kita tidak seharusnya terpedaya oleh bisikan-bisikan dari syaitan yang bertujuan untuk memesongkan akidah kita. Memang hati manusia senantiasa berbolak balik. Tetapi kita harus juga senantiasa beristighfar, bertaubat dan menyesali apa kekhilafan yang telah kita lakukan semasa kita lemah. 

Aku harus OPTIMIS untuk sembuh dan hidup seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW utusan terakhir yang menyampaikan kebenaran. Hidup di dunia adalah ladang hidup di akhirat yang pastinya kehidupan yang kekal abadi di sana. 

Aku Cinta ALLAH


Andaikan diri ku bisa
Seperti yang lain
Yang Kau sayang
Yang Kau rindukan
Yang Kau cintai
Aku lemah tanpa Mu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku
Tolongku
Yaaa Allah
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi
Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku Cinta Allah
Artist: Wali Band