Mencari Mardhatillah 39

Sangat tersentuh apabila menonton Bicara Selebriti dimana moderatornya saudara Amin Idris menyanyikan lagu Aku Cinta Allah (Wali Band-Indonesia). Ianya mengusik jiwa dan perasaan dan terasa ingin berkongsikan liriknya bersama supaya dapat sama-sama menghayati setiap dari lirik tersebut. Kalau didengarkan sekali melodinya pastinya lebih menyentuh malah mungkin boleh mengalirkan air mata.


Andaikan…diriku bisa seperti yang lain..
Yang Kau sayang..
Yang Kau rindukan..
Yang Kau cintai..

Aku lemah.. TanpaMu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku..Tolongku.. Ya Allah..
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi

Aku sayang Allah..
Aku rindu Allah..
Aku cinta Allah..


Hanya pada Allahlah tempat kita sandarkan segala sesuatu. Ingatlah bahawa rezeki bukannya di tangan manusia tetapi di tangan Allah. Ianya telah tertulis di Lauh Mahfuz. La Ilaha Illallah. Tiada Tuhan yang layak di sembah melainkan ALLAH!

Mencari Mardhatillah 38

Jun 2013. Sudah setahun aku tidak mengemaskini blog kerana kali terakhir aku menulis di blog adalah pada Jun 2012. Entah kenapa hari ini terasa ingin menulis sesuatu di blog yang telah setahun aku tidak mengemaskininya. Sejujurnya, diantara sebab utama aku tidak menulis kerana mood aku tidak stabil dan ianya menyebabkan aku tidak mempunyai idea untuk menulis. 

Alhamdulillah hari ini, aku tergerak untuk menulis di hari keduaku untuk tahun ini aku kembali masuk ke wad di PPUKM. Aku merasakan perasaan aku hari ini berbeza dengan hari-hari sebelum ini sepanjang aku tidak mengemaskini blogku. Diriku menjadi berbeza kerana aku dapat fokus untuk membaca buku motivasi yang sangat memotivasikan. Buku yang terkenal di seluruh dunia iaitu La Tahzan (Jangan bersedih@Don't be sad) Membaca tajuknya sahaja di dalam buku itu sudah cukup menyentuh. Apatah lagi dengan membaca isinya. 

Aku mengharapkan agar mood aku hari ini berpanjangan. Aku harus positif. Tidak lagi pesimis dan menganggap bahawa ujian penyakit dari Allah hanyalah bebanan semata-mata. Ujian dari Allah adalah tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bukankah Allah menyebut di dalam surah Al-Quran bahawa Allah adalah Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Maha Penyayang dan Maha Pengasih adalah 2 dari 99 nama Allah yang wajib kita imani dan fahami serta cuba untuk mempraktikkan dalam kehidupan seharian. 

Setiap apa yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman dengan semua rukun iman, kita tidak seharusnya terpedaya oleh bisikan-bisikan dari syaitan yang bertujuan untuk memesongkan akidah kita. Memang hati manusia senantiasa berbolak balik. Tetapi kita harus juga senantiasa beristighfar, bertaubat dan menyesali apa kekhilafan yang telah kita lakukan semasa kita lemah. 

Aku harus OPTIMIS untuk sembuh dan hidup seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW utusan terakhir yang menyampaikan kebenaran. Hidup di dunia adalah ladang hidup di akhirat yang pastinya kehidupan yang kekal abadi di sana. 

Aku Cinta ALLAH


Andaikan diri ku bisa
Seperti yang lain
Yang Kau sayang
Yang Kau rindukan
Yang Kau cintai
Aku lemah tanpa Mu aku lelah
Aku sungguh tak berdaya
Tolongku
Tolongku
Yaaa Allah
Setiap air mataku mengalir
Allah aku lemah dan tak berarti
Setiap derai tangis membasahi
Allah jangan tinggalkan aku lagi
Aku sayang Allah
Aku rindu Allah
Aku Cinta Allah
Artist: Wali Band

Mencari Mardhatillah 37


Sungguh indah apabila mentadabbur Al-Quran. Terasa jauh ke lubuk hati dan seperti Allah menyampaikan sesuatu untuk hambaNya yang amat lemah dan senantiasa memerlukanNya. Allah sama sekali tidak meninggalkan hambaNya melalui kepayahan hidup di dunia. Allah mengirimkan doctor untuk membantu memulihkan aku. Allah juga memberikan akhawat seperti Makcik Ton, Kak Azlina dan Basmin yang memberi sokongan moral pada aku. Malah mereka mengajarkan aku untuk bertahan dengan ilmu yang mereka ada.  Mungkin aku tak dapat sokongan moral dari adik beradik dan saudara maraku. Tapi Allah menggantikan dengan doctor, Psikologis dan adik-adik ikhwah akhawat di PPUKM.

Pasti ada hikmah setiap apa yang berlaku terhadapku. Aku menangis kerana terharu dengan perancangan Allah, bukan menangisi nasibku. Pada luarannya nampak seperti aku terseksa. Tetapi sebenarnya aku bahagia kerana Allah disisiku. Cara nak merasakan bahawa Allah senantiasa disisi adalah dengan mentadabbur Al-Quran disaat kesedihan dan berasa keseorangan. Kita tak keseorangan sebenarnya. Allah bersama hambaNya yang sabar menempuhi ujian. Kata Basmin, kalau nak lulus keluar dari ujian ini harus bersabar dan ingat akan janji Allah dalam Al-Quran. Sabar ganjarannya amat besar. Maka bersabarlah. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.

Kadang-kadang bermain di fikiranku bahawa sabar itu memenatkan. Aku rasa penat kerana aku merasakan ujian ini terlalu berat dan aku tak mampu menanggungnya. Malah aku berharap lebih baik Allah mengambil sahaja nyawaku. Tidak terdetik bahawa adakah sudah cukupkah amalanku untuk dihitung dan dikumpulkan bersama umat-umat yang beruntung di akhirat kelak? Jangan lupa kata-kata Allah dalam ayat terakhir Al-Baqarah: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. YAKINLAH!! Ini adalah wahyu dari Maha Mengetahui. Dialah sebaik-baik perancang.

Perjalanan

telahku lalui
satu perjalanan
yang sukar ditempuhi
yang memerlukan ketabahan
yang memerlukan kesabaran

perjalanan ini tampak payah
mungkin juga dipandang rendah
atau mungkin dipandang serong
kerana ianya disisih sesetengah golongan
tapi aku harus jua melaluinya

aku yakin akan janji Allah
setiap kesusahan diiringi kemudahan
usaha diperlukan untuk lulus ujian ini
ganjarannya hanya Allah yang Maha Mengetahui
samaada di dunia atau yang lebih hebat: di Akhirat!!

Mencari Mardhatillah 36


Kenapa aku harus menangisi apa yang berlaku? Ini kan takdir dari Allah dan tanda Allah amat menyayangi hambanya. Lupakan siapa sahaja yang tak mengambil berat sebab Allah senantiasa mengambil berat akan hambanya. Allah amat menyayangi hambaNya. Allah menguji hamba yang disayangiNya. Sedarlah bahawa menjadi hamba yang disayangi amat beruntung. Tapi, kalau Allah sayang aku kenapa Allah tidak mahu mengambil sahaja nyawa aku? Aku dah penat melalui ujian ini. Aku tak larat. Rasa tak tertanggung beban yang aku pikul.

TIDAK!!

Aku harus kuat dan tabah melalui ujian ini. Pedulikan orang sekekliling yang tak memahami. Allah Maha Memahami. Bayangkan ganjaran yang bakal dikurniakan Allah sekiranya aku redha dengan ujian  yang telah tertulis untuk aku tempuhi. Sebenarnya, ganjaran dari Allah adalah sesuatu yang di luar bayangan manusia. Itupun sekiranya aku tak mempersoalkan ujian dari Allah ini.

Aku seharusnya tidak mempedulikan kefahaman orang lain tentang aku biarpun mereka mempunyai perlaian darah sekalipun dengan aku. Aku telah cuba sedaya upaya aku memberi sedikit pemahaman tentang penyakit aku. Tapi Allah sahaja yang boleh memberi kefahaman dan membuka hati mereka untuk memahami setiap kepayahan yang aku lalui.

Aku harus bertawakal. Aku harus menguatkan diri aku dan merapatkan diriku dengan Yang Maha Esa. Aku sepatutnya menjadi hamba yang bersyukur dan hamba yang kuat imannya. Fikiranku bercampur baur dan senantiasa berubah-ubah. Syaitan pula memainkan peranannya untuk memesongkan, melekakan dan melalaikan hambaNya. 

"Ya Allah, panggillah kami kembali kepadaMu dengan cara yang paling baik. Maafkanlah segala kesalahan kami. Perbaikilah keadaan kami Pindahkanlah kami dari suasana gelap kepada suasana terang-benderang. Jadikanlah kami orang-orang yang dapat membimbing manusia menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ya Allah limpahkanlah selawat dan salam kepada penghulu kami Muhammad SAW. Akhir doa kami, bahawa segala puji hanya bagi Allah Tuhan semesta Alam."
 Doa yang turut dipetik dari buku Penyejuk Jiwa karangan Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni

Motivasi Unggul 19

Petikan dari buku Penyejuk Jiwa (Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni):

Ketika Ibnu Abbas masih muda belia, belum mengetahui apa-apa tentang Tuhan, lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

" Wahai anak, sesungguhnya aku ingin mengajarimu beberapa kalimat: Jagalah (perintah) Allah, Ia akan menjagamu. Jagalah (perintah) Allah maka Ia akan selalu dihadapanmu (memandumu). Kenalilah Tuhanmu di waktu lapang dan senang Ia akan mengenalmu di waktu susah dan sempit. Bila engkau (hendak) meminta maka pintalah kepada Allah. Jika minta tolong maka minta tolonglah kepada Allah
Ketahuilah, andaikan seluruh manusia berkumpul untuk memberimu sesuatu yang bermanfaat, mereka tidak akan sanggup kecuali dengan izin Allah. Dan andaikan mereka bersatu untuk mencelakaimu mereka tidak akan sanggup kecuali dengan izin Allah SWT (sedangkan) pena telah diangkat dan kertas (catatan) telah kering."
(HR Tirmizi, dengan sanad yang sahih)