Indah Hidup Bersama Ilahi

Alangkah indah hidup ini
Hidup bersama Ilahi
Kehendak Allah difahami
Pandai menerima darinya

Bijak mengunakan nikmatNya
Ia dianggap ibadah
Semua diberi pahala
Tarbiah Allah berhikmah

Sabar dengan ujian
Tanpa hisab akan diganjari
Nikmat yang diberi
Memudahkan untuk berbakti
Merasai pemberianNya
Itulah tanda bersyukur
Akan ditambah lagi
Nikmat yang diberi

Tersiksa bermujahadah
Kerana ingin menempuh jalan
Untuk menuju Allah
Tarbiahnya Allah tunjukkan

Tawakal kepada Ilahi
Terutama mengenai rezeki
Tanpa ragu-ragu walaupun sedikit
Ada jaminan pembelaan dari-Nya
Bila taqwa pakaian kita
Urusan kita dimudahkan
Kerana kita sudah menjadi ahlillah
Begitu indah hidup bersama Tuhan

Korban harta kerana Allah
Agar berdaulat kalimatullah
Setiap satu kebajikan
Semuanya digandakan

Motivasi Unggul 17



Dalam hadis Qudsi disebutkan bahawa, Allah S.W.T membuat orang sakit, Ia berfirman:
"Demi kemuliaan dan ketinggianku, Aku tidak membuat seseorang Mukmin sakit kecuali kerana dua hal:
  1. Aku berkehendak menjemput ajalnya lantas Aku ampuni segala         dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang.
  2. Aku akan sembuhkan penyakitnya, lalu Aku ganti tulangnya dengan tulang yang lebih baik, dagingnya dengan daging yang lebih baik dan darahnya dengan darah yang lebih baik"

Mencari Mardhatillah 33

Sudah sebulan aku di PPUKM bagi mendapatkan rawatan. Aku merasakan sedikit perubahan dan tiada mood sedih setelah menjalani ECT. Mungkin ECT boleh membuatkan pesakit lupa, tapi ia juga telah meneutralkan bahan kimia di dalam otak aku. Alhamdulillah. Syukur kupanjatkan ke hadrat Ilahi yang memberkati usahaku. Aku berharap ianya bukanlah bersifat sementara tetapi berpanjangan untuk jangka masa yang lama. Aku juga mengharapkan kemasukan aku di PPUKM kali ini adalah yang terakhir.

Harapan aku dengan usaha aku kali ini adalah ingin pulih untuk jangka masa yang lama. Ubat akan aku makan dan CBT dengan kak Azlina akan kuteruskan bagi memastikan tahap kesihatan aku memuaskan. Apa yang aku pelajari dari kak Azlina aku perlu laksanakan. Praktikal lebih penting kalau kita belajar sesuatu yang baru. Tambahan pula ini untuk memastikan aku pulih dan seterusnya kembali sihat.

Allah adalah sebaik-baik perancang. Apa yang dirancangkan olehNya ada hikmah yang tersembunyi. Lupa disebabkan ECT juga adalah perancanganNya. Allah memadam memory yang tertentu sahaja. Ada yang aku ingat dan ada yang aku tak ingat. Dia lebih tahu apa yang terbaik untukku.

Motivasi Unggul 16

Al-An'am:

60 - Dan Dialah yang menidurkan kamu pada malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari. Kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umurmu yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNya tempat kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan

61 - Dan Dialah penguasa mutlak atas semua hambaNya dan diutusNya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, malaikat-malaikat Kami mencabut nyawanya dan mereka tidak melalaikan tugasnya.

62 - Kemudian mereka (hamba-hamba Allah) dikembalikan kepada Allah, penguasa mereka yang sebenarnya. Ketahuilah bahawa segala hukum (pada hari itu) ada padaNya dan Dialah pembuat perhitungan yang paling cepat.

Jika Terakhir Untukku

Mencari Mardhatillah 32

Keampunan Allah tidak bertepi. Aku bukanlah mengambil kesempatan untuk mengulangi perbuatan menzalimi diriku sendiri dengan adanya keampunan apabila kita bertaubat. Tetapi saat aku menzalimi itu aku berada di luar kawalan atau tidak waras dan tak dapat berfikir dengan baik.

Aku takut dan rasa bersalah setelah sedar apa yang aku lakukan merupakan satu dosa. Aku juga bimbang Allah tak akan mengampuni aku lagi kerana kesilapan itu terlalu banyak berulang-ulang.

TIDAK! Aku tak boleh pesimis dalam kehidupan. Harus sentiasa optimis. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Kau neutralkan chemical dalam otakku dan positifkan pemikiranku.

Kehidupan ini adalah satu ujian kepada manusia. Cuma cara manusia menangganinya yang membezakan manusia antara satu sama lain. Setiap ujian harus ditanggani dengan bijak sekiranya individu itu mempunyai skill untuk melalui ujian itu dengan jayanya.

Motivasi Unggul 15 - Hadis Qudsi:Selalu bertaubat dan beristigfar

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Seorang hamba melakukan satu dosa lalu ia berkata: "Wahai Rab aku melakukan satu dosa maka ampunkanlah aku." Maka Allah berkata "Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan menghapuskannya? Aku telah mengampuni hamba-ku. Kemudian setelah beberapa ketika dia kembali melakukan dosa dan berkata: "Wahai Rab aku telah berbuat dosa lain, maka ampunilah aku." Allah kemudian berkata " Adakah hamba-ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan memaafkannya? Aku telah mengampuni hamba-Ku. Kemudian setelah beberapa ketika, ia melakukan dosa lagi dan berkata: "Wahai Rab, aku telah berbuat dosa lain, maka ampunilah aku." Allah berfirman:"Apakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa dan memaafkannya? Aku telah mengampuni hamba-Ku - sebanya tiga kali - maka lakukanlah apa yang disukainya"'

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)