Mencari Mardhatillah 25

Pasti ada sebab dan hikmah di atas apa yang berlaku. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Ujian demi ujian harus aku lalui. Tarbiyyah apakah lagi yang Allah rancang untukku? Mungkin di Hira' bukan tempat yang terbaik. Ada yang terbaik menantiku dihadapan. InshaAllah.

Aku bertemu dengan ramai orang. Ada yang lebih teruk dariku sehingga terpaksa berhenti belajar. Aku?? Sempat menghabiskan Ijazah Sarjana Muda di Uniten. Sempat bekerja beberapa tahun sebelum diuji. Ujian yang datang sebagai tanda kasih sayang Allah. Sangat gembira menjadi hamba yang disayangi tuannya. Hanya Allah yang mengetahui apa yang dirancang. Allah adalah sebaik-baik perancang.

Bermuhasabah. Keberadaan aku di PPUKM memberi ruang untuk aku bermuhasabah. Surah Al-Insyirah memberiku inspirasi dan motivasi untuk aku teruskan kehidupan. "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."

Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan. Berlapang dada adalah tahap ukhuwah yang terendah dan ithar adalah tahap ukhuwah yang tinggi. Seperti yang dinyatakan sebelum ni, manusia akan datang dan pergi tapi ALLAH SWT, tetap ada dan takkan kemana-mana. Senantiasa menantikan hambanya merayu dan berdoa. Merintih dan menangis kekesalan.

Ya ALLAH, banyaknya dosaku padaMu. Aku seringkali alpa dan lalai dalam melaksanakan kewajipan serta leka dengan dunia. Ampunkan aku ya Allah. Aku sedar akan kesilapanku kerana tidak bersangka baik denganMU. Padahal Kau rancang sesuatu yang terbaik dan memang untukku. Tak ada yang kau takdirkan adalah sesuatu yang buruk atau tidak baik. Teruknnya aku. Aku bersalah Ya Allah. Ampunkan aku. Kasih sayangMu tak bertepi. Kasih saying manusia ada batasnya tapi, Engkau Maha Sempurna. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Nak untung ke rugi?.......2

Pastinya kita sebagai manusia di dunia ini tak nak menjadi orang yang rugi. Seandainya kita berbisnes amat pasti kita mahukan keuntungan. Sama ada keuntungan itu banyak atau sedikit, kita pasti mahukan keuntungan. Tak ada orang yang berbisnes yang mahukan kerugian.

Begitu juga dalam kehidupan kita. Kita pasti mahu beruntung di dunia apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Selalunya visi kita nak jadi orang yang beruntung di dunia kerana tu adalah kehidupan kita sekarang. TETAPI kalau kita orang yang berpandangan jauh, keberuntungan yang paling best adalah keberuntungan di akhirat iaitu masuk ke syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai. Akan tetapi untuk mendapat keberuntungan di akhirat, caranya adalah dengan meraih dan menuainya di dunia. Firman Allah:

Ø Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar. (41:35)

Ø Barang siapa menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat. (42:20)

Dengan berkat kesabaran kita di dunia kita akan meraih syurga yang dijanjikan Allah pada kita. Motivasi untuk mendapatkan syurga - ( 76:12-22) Sedikit firman Allah dalam surah Al-Insaan ayat 12: “Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya) dengan syurga dan (pakaian daripada) sutera.”

Allah turut berfirman bagaimana digambarkan sekiranya kita memilih untuk menjadi orang yang rugi juga dalam surah Al-Insaan ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menyediakan bagi orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala.”

Pilihan adalah di tangan kita.

Kadang kala kita merasakan macam kita rugi di dunia. Akan tetapi rugi di dunia tak bermaksud turut rugi di akhirat. Yang penting tepuk dada tanya iman. Di antara kemungkinan yang boleh berlaku adalah

1. Untung di dunia, untung di akhirat

2. Untung didunia rugi diakhirat

3. Rugi di dunia, untung di akhirat

4. Rugi di dunia, rugi di akhirat

Ada tambahan kemungkinan lain? Dalam al-Quran ada banyak motivasi untuk kita menjadi orang yang beruntung. sama ada kita sedar atau tidak.


Nak untung ke rugi?

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (103:1-3)

Isi-isi utama yang diterangkan dalam terjemahan:

SEMUA manusia berada di dalam kerugian apabila dia tidak mengisi masanya dengan perbuatan-perbuatan yang baik.

Walaupun surah ini pendek dan ringkas. Namun ianya mempunyai isi tersirat yang mendalam. Bukankah Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia? Begitu juga dengan surah yang pendek ini. Ada sesuatu yang ingin Allah sampaikan kepada kita.

Ramai yang mengetahui surah ini. Ramai yang menghafal surah ini. Ramai juga yang mengetahui terjemahan surah ini. Surah ini sering dibaca sebagai penutup sesuatu majlis. Tetapi, berapa ramaikah pula yang memahami, mendalami dan menjiwai erti atau maksud sebenar yang ingin Allah sampaikan melalui penurunan surah ini? Mari kita renungkan.

Terdapat pelbagai surah lain di dalam Al-Quran di mana permulaan ayatnya dimulakan dengan sumpah. Apabila Allah memulakan sesuatu surah dengan sumpah, ini bermakna Allah ingin menarik perhatian semua manusia. Pasti ada sesuatu yang penting yang hendak disampaikan selepas sumpah tersebut.

Allah telah bersumpah dengan masa. Ini menunjukkan bahawa, masa itu sangat penting di dalam kehidupan manusia seharian. Sekiranya masa yang kita ada ini tidak dimanfaatkan sebaiknya, kita akan berada di dalam kerugian.

Selain dari maksud demi masa, ”wal-asrs” juga bermaksud demi waktu asar. Apabila tiba waktu asar, kita tidak mempunyai banyak waktu lagi sebelum tibanya waktu maghrib dan seterusnya waktu isya’. Ini menunjukkan bahawa semua manusia juga sudah tidak punya banyak masa lagi di dalam kehidupan. Hanya sedikit sahaja masa yang kita ada untuk meneruskan kehidupan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Manusia iaitu al-insan dikenali dengan sifatnya yang lupa. Manusia perlu saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kadang-kadang kita tidak sedar akan peringatan-peringatan yang telah Allah ingatkan di dalam mukjizat terbesar kita yakni Al-Quran. Di dalam surah ini, Allah menekankan sesuatu yang amat penting dalam hidup manusia iaitu masa. Kita perlu saling ingat-mengingati dengan dengan masa yang telah berlalu dan masa yang bakal kita tempuhi.

Dengan masa yang telah berlalu, adakah cukup amalan kita dalam mencari keredhaan Allah? Adakah cukup dengan semua amalan yang telah kita lakukan? Adalah semua yang kita lakukan dalam mencari keredhaan Allah itu kita telah melakukannya sehabis baik? Adakah cukup untuk kita berhadapan dengan Allah di hari pembalasan kelak?

Sayang

Ujian yang datang bukan sebagai

bebanan tetapi adalah bukti

kasih sayang Allah pada kita.


Para Nabi dan Rasul adalah

hamba yang paling banyak diuji,

maka janganlah bimbang

dan sedih jika kita diuji.



Allah uji hambanya

kerana Allah sayang.

Amat beruntung menjadi hamba

yang disayangi tuannya.

Tuan yang menciptakannya.



Allah tak lupakan kita.

Kita yang selalu melupakanNya.

Allah tak lupakan kita.

Manusia lain selalu melupakan kita